'/>

KUCHING: Penyokong kerajaan Sarawak kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mempertahankan dasar kerajaan meman-dangkan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 71 anggota.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembangkang akan lebih berkuasa hanya jika 55 wakil rakyat daripada BN membenarkan mereka terus memainkan isu berkaitan kebebasan agama dan perkauman yang dapat membangkitkan emosi rakyat dengan mudah.

“Sebagai wakil rakyat BN, anda mesti memahami peranan anda sebagai penyokong kerajaan untuk bertindak selaku rangkaian dalam menjalin suatu sistem serta penyelesaian baru ke arah menjayakan tadbir urus kerajaan dengan menjelaskan secara mudah kepada penduduk di peringkat akar umbi,” katanya ketika me-rasmikan seminar Wacana Parlimen mengenai Kerajaan 2011 di bangunan baru DUN di Petra Jaya di sini.

Kira-kira 75 perwakilan terdiri daripada menteri muda negeri, penyokong kerajaan dan setiausaha politik menghadiri seminar tiga hari itu yang diadakan menjelang persidangan DUN yang dijadual dari 20-29 Jun, yang akan turut dihadiri oleh 15 anggota pembangkang, iaitu daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat dan bebas.

Taib berkeyakinan bahawa cara yang bersesuaian dalam mempertahankan dasar kerajaan akan melenyapkan sebarang kritikan, di peringkat tempatan dan antarabangsa, terutamanya dakwaan pembangkang bahawa kerajaan negeri kurang telus dan tidak berwibawa dalam mengendalikan perbelanjaan kerajaan.

Taib berkata pada masa ini, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai penarafan bebas di bawah Moody’s Standard selain jawatankuasa kira-kira awam yang menjalankan semakan tahunan, katanya.

Berbeza dengan pembangkang yang memperjuangkan perubahan untuk disesuaikan dengan tujuan politik mereka, beliau berkata, penyokong kerajaan mesti mengiktiraf demokrasi yang berfungsi, yang benar-benar memperjuang dan berusaha ke arah perubahan, membawa bukan sahaja keperluan bagi pembangunan ekonomi tetapi interaksi dengan komuniti untuk menjadikan dasar awam suatu perkembangan yang realistik.

“Hari ini saya boleh mengatakan bahawa kita masih belum mempunyai pembangkang yang berdaya maju dan saya harap percubaan mereka untuk menubuhkan kabinet bayangan akan mengajar mereka tanggungjawab untuk menguruskan negara, maknanya mereka perlu faham apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang berjaya,” katanya. — Bernama
| Copyright © 2013 MERADONG TODAY