Related Pots
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengulangi gesaannya agar rakyat di negeri itu tidak membenarkan orang luar memusnahkan perpaduan, keharmonian dan toleransi agama yang dinikmati mereka sejak lebih 100 tahun lalu.
“Kita mempunyai rasa hormat dan toleransi yang kuat terhadap agama dan latar belakang masing-masing. Marilah kita kekalkan keadaan ini.
“Jadikan ini cara kita untuk bergerak ke hadapan,” katanya di hadapan kira-kira 200 penganut Kristian di pusat pertemuan Gereja St Peter dan St Paul di sini.
Beliau memberi contoh di Mukah sendiri ada keluarga yang tinggal di bawah satu bumbung namun anggotanya berlainan agama.
“Ibu bapa adalah Kristian atau mengamalkan ‘Likou’ iaitu ajaran nenek moyang mereka, manakala anak-anak pula beragama Islam menerusi perkahwinan. Akan tetapi mereka dapat hidup bersama secara harmoni.
“Kita tidak harus benarkan mereka yang rasis, fanatik agama dan lain-lain pembuat kacau dari luar merampas semua ini daripada kita. Selagi saya menjadi ketua menteri, saya tidak akan benarkan kumpulan berkenaan datang ke negeri ini,” katanya.
Adenan berkata beliau mengambil langkah itu bagi melindungi perpaduan dan keamanan di Sarawak selain menghormati semua agama.
Katanya beliau juga akan terus berlaku adil dalam agihan dana pembangunan untuk pelbagai kumpulan agama di Sarawak.