PENGGUGURAN TUNTUTAN MAHKAMAH AS SECARA SENYAP
Kenyataan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia
24 September 2016
1. Tuntutan mahkamah tindakan kelas yang difailkan di Amerika Syarikat terhadap 1MDB dan lain-lain oleh setiausaha politik Tun Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan Husam Musa telah menimbulkan kontroversi global. Ianya semata-mata berdasarkan dakwaan dalam aduan awam Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dan coretan palsu yang disiarkan oleh Wall Street Journal.
2. Tuntutan mahkamah oleh pengikut Tun Mahathir ini menimbulkan berita dan kontroversi global apabila ia difailkan pada 11 Ogos. Tetapi, yang peliknya, Wall Street Journal dan media Barat yang lain tidak melaporkan bahawa semalam, saman itu telah digugurkan.
3. Realitinya adalah bahawa ia sejak awal lagi adalah tidak berasas, satu aksi publisiti semata-mata untuk memanipulasi persepsi orang ramai. Sebahagian daripada rancangan Tun Mahathir untuk mensabotaj 1MDB dan merosakkan ekonomi Malaysia untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Dan semua ini adalah atas sebab-sebab politik untuk kepentingan diri sendiri, hanya untuk memberi manfaat kepada anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
4. Ia semestinya mengecewakan bagi Tun Mahathir bahawa setiap percubaannya untuk menggulingkan demokrasi Malaysia telah gagal. Mereka akan terus gagal. Salah satu tanda seorang pemimpin yang sebenar adalah mengetahui masa untuk berundur secara senyap.
5. Rekod sebenar Perdana Menteri telah dicatitkan oleh Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova. Beliau berkata, "Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, kerajaan Malaysia telah mengambil pendirian tegas terhadap keganasan ekstremisme melalui penglibatan dan pendidikan, yang mana UNESCO menganggap sebagai pencegahan jangka panjang yang paling berkesan ke atas kuasa yang mengancam untuk memecah-belahkan masyarakat". Beliau juga memuji Malaysia sebagai "Satu contoh kepada negara-negara di semua peringkat pendapatan"; dan juga berkata bahawa negara ini adalah "Bukti bahawa menghormati kepelbagaian merupakan satu sumber pengayaan"; dan bahawa kita telah mengetuai usaha menggalakkan "Ajaran agama untuk menggalakkan toleransi, hormat-menghormati dan saling memahami".
6. Kerajaan tidak akan terganggu dengan percubaan Tun Mahathir yang semakin terdesak. Perdana Menteri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan mengutamakan sekuriti, keselamatan dan kemakmuran mereka.
Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak,
Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Malaysia