'/>
Artikel menarik mengenai kampung Bintangor:sumber: http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=225
Kampung Bintangor dipercayai mula dibuka penempatannya pada tahun 1896. Ia terletak kira-kira 22 kilometer dari Sarikei dan lebih kurang 50 kilometer dari Sibu. Penduduk yang membuka penempatan ini berpindah ke Kampung Bunut Ulu kerana tanah di Kampung Bintangor pada masa itu tidak sesuai untuk tanaman padi. Walau bagaimanapun, pemerintah pada zaman itu ialah Raja Brooke telah memanggil kembali penduduk yang berhijrah ke Bunut Ulu untuk menetap di Kampung Bintangor. Ini kerana mereka diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan pedagang-pedagang dari Sibu dan Sarikei yang sering dirompak di Bintangor. Kedudukan Bintangor yang berada di tengah Sarikei dan Sibu menyebabkan Bintangor sebagai kawasan strategik kepada perompak-perompak pada masa dulu.
Asal-usul nama Kampung Bintangor ialah Kampung Binatang. Timbul nama Binatang kerana ada peristiwa aneh yang berlaku di mana tiba musim buah ‘engkabang’.Pelbagai jenis binatang aneh yang tidak pernah dijumpai datang dan berhijrah hanya untuk makan buah ‘engkabang’. Kejadian aneh ini menyebabkan penduduk setempat memberikan nama kampung ini sebagai Kampung Binatang.

Pada tahun 1935, kaum Cina, Iban dan Melayu bermesyuarat sesama mereka bertujuan untuk mencari nama baru bagi kampung mereka. Namun, pada tahun 1984 Kerajaan Sarawak mengarahkan agar nama Daerah Binatang ditukar bagi menangani masalah sensitiviti nama tempat di Sarawak . Daerah Binatang telah ditukarkan kepada Meradong manakala nama bandar secara rasminya dikekalkan kepada nama Bintangor yang diambil sempena dengan nama pokok yang banyak terdapati di situ. Nama Meradong pula diambil sempena nama sungai yang mengalir di pertengahan daerah Kampung Bintangor.

Pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS. Pokok Bintangor boleh tumbuh di mana-mana sahaja samada di lereng-lereng bukit atau tanah rendah.

Manakala buah Limau Bintangor pula cukup terkenal di Sarawak. Limaunya yang berperisa masam manis sentiasa menjadi tarikan penggemar buah di Sarawak. Oleh kerana itu, limau telah dijadikan maskot Bandar Bintangor.

Bintangor mempunyai penduduk yang ramah dan masih menjadikan basikal sebagai kemudahan untuk bergerak. Pengunjung-pengunjung dapat melihat kanak-kanak, remaja, belia dan golongan tua mengayuh basikal di mana sahaja. Memandangkan beberapa buah kampung yang terdapat di dalam kawasan Kampung Besar Bintangor berdekatan, maka mudah untuk penduduk berhubung melalui jalan darat.  Manakala Kampung Bintangor dengan Kampung Tanjung Bundong, Kampung Selemas dan Kampung Lebaan ialah  menggunakan jalan sungai atau menaiki bot.

Kampung Melayu yang terdekat dengan bandar ialah Kampung Bintangor. Kampung Besar Bintangor ini terbahagi kepada lima kampung lain iaitu Kampung Abang Amin, Kampung Muhibbah, Kampung Abang Ali, Kampung Bidadari dan Kampung Gelam. Manakala kampung Iban yang berdekatan pula ialah Kampung Pilit, Kampung Turak, Kampung Gemuan dan Kampung Selidap. Sumber pendapatan utama mereka ialah berkebun dan bercucuk tanam secara kecil-kecilan. Di kebanyakan  tempat, penduduk kampung menanam padi hanya untuk keperluan keluarga sahaja. 

Sumber pendapatan utama Bandar Bintangor kebanyakannya menerusi pertanian. Pelbagai jenis tanaman yang memberi hasil kepada penduduk Bintangor diusahakan seperti padi, limau, nanas, koko, getah, pisang dan bermacam-macam lagi. 

Penduduk Kampung Bintangor tidak dapat lari dari kehidupan di sungai. Sungai adalah sumber rezeki kepada penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai. Setiap lorong di kampung ini pasti ada jeti kecil untuk kegunaan nelayan meletakkan sampan dan naik ke darat. Kebiasaannya, hasil tangkapan adalah untuk makanan sendiri dan jika hasil tangkapan banyak, ia akan terus di jual di pasar basah ataupun dijual atas permintaan penduduk kampung sendiri. 

Kaedah yang digunakan oleh nelayan sungai kampung ini ialah kaedah tradisional yang mana masih menggunakan jala sebagai alat untuk mendapatkan hasil sungai. Nelayan- nelayan ini selalunya akan menjala di tepi- tepi sungai mengikut arus aliran sungai sama ada surut ataupun pasang. Selain menggunakan jala, nelayan- nelayan kecil ini turut menjadikan joran sebagai alat untuk menangkap ikan.

Kemudahan awam sememangnya amat penting di setiap penempatan. Ia memudahkan penduduk untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bagi penduduk Bintangor, mereka amat berpuas hati kerana kemudahan yang disediakan sentiasa di naik taraf dan di selenggarakan dengan baik. Penduduk-penduduk juga sentiasa memantau dan memperbaiki kemudahan jika berlaku kerosakan kecil supaya kemudahan ini dapat digunakan dengan sempurna.

Di antara kemudahan-kemudahan yang ada ialah telefon awam, tandas awam, dewan masyarakat, kompleks sukan, perpustakaan awam, balai polis, balai bomba, pejabat pos, klinik kesihatan, pasar tani, kedai runcit, masjid, gereja dan kemudahan pengangkutan bas. Selain itu, kemudahan seperti elektrik sudah mula menapak di Kampung Bintangor sejak tahun 1961 dan kemudahan air pada tahun 1970. Tetapi ada juga kawasan yang lain tidak dapat disambungkan kemudahan elektrik dan air kerana ada masalah – masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan. Kesemua kemudahan ini amat dihargai penduduk Bintangor dan berharap kemudahan-kemudahan ini akan sentiasa berguna kepada generasi- generasi yang akan datang.

Taman Rekreasi Bintangor yang terletak kira-kira lima kilometer daripada Bandar Bintangor menjadi tumpuan penduduk mengadakan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi ketika petang. Kebanyakan pengunjung yang datang untuk beriadah membawa keluarga tersayang untuk memanfaatkan masa bersama-sama. Taman ini mempunyai landasan untuk pengunjung berjoging, pelbagai jenis pokok bunga yang menarik, pondok santai dan taman permainan kanak- kanak.

Bandar Bintangor semakin membangun  apabila Jambatan Nyelong Hilir dibuka kepada lalu lintas sejak 26 Oktober 2008 yang lalu. Ia sudah pasti memberi kemudahan dan melancarkan perjalanan menuju ke Bintangor.  

Berdasarkan statistik tahun 2008,  Bandar Bintangor mempunyai 30,755 orang penduduk yang mana kaum Iban mendominasi jumlah penghuni di bandar ini dengan jumlahnya kira-kira 12, 806 orang. Sementara itu,   penduduk Cina merupakan kaum kedua terbesar, kira-kira 11, 252 orang dan kaum Melayu seramai 4,583 orang. Walaupun berbeza budaya dan agama, penduduk di sini  hidup dengan aman damai. Masyarakat Iban dan Melayu bekerja sebagai nelayan dan bercucuk tanam manakala kaum Cina  membuka kedai runcit dan perniagaan lain.

Disediakan oleh,
Siti Nurul Ain Merin Abdullah,
Pembantu Tadbir ( Kewangan ) W17
Jabatan Peguam Negara Sarawak.

posted from Bloggeroid

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY