'/>

Motif serangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kerana mahukan anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi perdana menteri, dakwa ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, sebab itulah bekas perdana menteri berkenaan tidak menyebut siapa pengganti, jika Najib meletakkan jawatan.

Menurutnya, Dr Mahathir terlalu taksub dengan agenda Mukhriz menjadi perdana menteri sehingga sanggup melempar fitnah terhadap Najib dan duduk semeja dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Mohd Puad turut mengingatkan Mukhriz bahawa tidak ada jalan pintas untuk menjadi presiden Umno dan perdana menteri.

"Ternyata Mukhriz dan Dr Mahathir gagal faham bahawa Umno akhirnya akan tolak pemimpin yang rakuskan takhta dan kuasa sehingga sanggup menjatuhkan Presiden Umno menggunakan musuh orang Melayu dan Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu, Dr Mahathir, yang keluar daripada Umno untuk kali kedua pada 29 Februari lalu, mengetuai tindakan menandatangani apa yang dinamakan mereka deklarasi rakyat, menyokong penyingkiran Najib daripada jawatan perdana menteri.-  Bernama

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY