'/>


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, memberi jaminan pembangunan

infrastruktur luar bandar yang diperjuangkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akan terus menjadi keutamaan pentadbirannya.

Abang Johari berkata, Adenan yang mesra dengan panggilan Tok Nan memperkenalkan dasar itu kerana mahu masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Sehubungan itu, katanya, Tim Adenan (Pasukan Adenan) yang diperkenalkan ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) tahun lalu akan terus dikekalkan untuk tempoh empat tahun lagi.

“Tim Adenan tidak akan berubah, yang berubah hanyalah Kaptennya. Sebagai Kapten, saya akan meneruskan dasar yang diperkenalkan Tok Nan.

“Sebagai Tim Adenan, kita akan berusaha sedaya upaya melaksanakan semua janji dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Yasin untuk Allahyarham Adenan serta Majlis Kesyukuran Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok, di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, dalam usaha melaksanakan semua janji itu, semua pihak dalam jentera pentadbiran negeri harus mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin.

Ia, katanya, adalah faktor utama menentukan keupayaan memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

Beliau juga menegaskan akan sedaya upaya memastikan pemerintahannya adil dan saksama untuk semua kaum.

“Saya bukan Ketua Menteri untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak,” katanya

Sumber :http://gerbangpost.com/blog/infrastruktur-luar-bandar-terus-jadi-keutamaan-abang-jo/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY