'/>

Tahniah kepada YAB Tan Sri Datuk Amar Hj. Adenan Bin Hj. Satem, Ketua Menteri Sarawak ke-5, berkuatkuasa 28 Rabiulakhir 1435 Hijrah bersamaan 28 Februari 2014 Masehi.














Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Abdul Rahman Ya’kub. Selepas hampir 33 tahun menabur jasa, beliau melepaskan jawatan ketua menteri berkuat kuasa esok, 28 Feb.

Taib Mahmud dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936 hasil perkongsian hidup antara Mahmud Abang Yahaya dan isterinya Hamidah Ya’kub.

Anak pertama daripada 10 beradik ini memulakan pendidikan rendah di Sekolah St Joseph’s, Miri sebelum menerima pendidikan menengah di St. Joseph’s, Kuching dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Adelaide.

Taib mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Laila Taib dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki serta dua perempuan.

Selepas isteri pertama meninggal dunia akibat kanser pada 2009, Taib mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Puan Sri Ragad Kurdi Taib yang berasal dari Syria pada 2010.

Taib memulakan kerjayanya sebagai hakim bersekutu kepada Hakim Herbert Mayo dari Australia Selatan selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1961.

Beliau kemudian kembali ke Sarawak berkhidmat sebagai peguam negara Sarawak mulai tahun 1962 hingga 1963.

Kerjaya politik Taib bermula selepas menyertai Majlis Perundangan Sarawak, pada 1963-1966 dan dilantik sebagai menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri serta menteri Pembangunan dan Perhutanan Sarawak (1966-1967).

Kerjaya politik Taib di peringkat persekutuan bermula selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Samarahan.

Taib dilantik penolong menteri Perdagangan dan Industri pada 1968-1970, timbalan menteri Jabatan Perdana Menteri dan kemudian menjadi timbalan menteri Kerja Raya, Pos dan Komunikasi (1970), menteri Perusahaan Utama (1972), menteri Pertahanan (1978), pemangku menteri Luar Negeri (1979) dan menteri Wilayah Persekutuan pada 1980.

Pada 9 Mac 1981, Taib meletak jawatan sebagai menteri Wilayah Persekutuan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil negeri bagi kawasan Sebandi.

Beliau berjaya memenangi kerusi Sebandi tanpa bertanding, dan kemudian dilantik sebagai menteri Tanah dan Galian Sarawak.

Seterusnya beliau dilantik sebagai ketua menteri Sarawak mulai 26 Mac 1981.

Sepanjang berkhidmat sebagai ketua menteri, Taib turut memegang pelbagai jawatan antaranya menteri Perbadanan Pembangunan Ekonomi, menteri Tanah dan Sumber Asli, menteri Perancangan Sumber dan menteri Kewangan.

Sumber : Bernama

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY