'/>

RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak perempuan berjaya menyelamatkan dirinya daripada sebarang kecederaan dengan hanya memakai tuala mandi dalam kebakaran di Banggol Kulim, dekat sini, selepas Subuh, semalam. Ketika kejadian, mangsa, Normaizura Mohd Ali,12, sedang bersiap-siap untuk ke sekolah dikejutkan dengan teriakan ibunya  memanggilnya keluar kerana api sedang marak di kediaman mereka. Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang Dua itu berkata, tanpa berfikir panjang, dia terus keluar walaupun hanya bertuala ketika itu demi menyelamatkan dirinya. Normaizura berkata, ketika itu dia hanya memikirkan tentang keselamatan diri serta ibunya sahaja. “Sebaik keluar dari bilik air, emak menunggu di luar, walaupun hanya memakai tuala mandi, saya nekad untuk menyelamatkan diri dan terus ke rumah emak saudara terletak bersebelahan  untuk meminjam baju kerana semua pakaian hangus. “Api marak dengan cepat dan kami bersyukur sempat menyelamatkan diri serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. Ibunya, Fauziah Abdul Rahman,47, pula berkata, setelah menyedari api merebak ke rumahnya, dia menjerit memanggil anak bongsunya itu supaya segera keluar dari bilik air. Katanya, api yang dipercayai bermula dari rumah pertama begitu pantas merebak ke rumahnya yang merupakan kediaman ketiga dijilat api dalam kejadian pagi semalam. Menurutnya, dia sedar ketika itu semua barang berharga tidak dapat diselamatkan , justeru terus menjerit memanggil anaknya keluar.  “Sebaik Normaizura keluar dari bilik air, kami terus menyelamatkan diri,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa mereka anak- beranak.   Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata,kebakaran awal pagi itu melibatkan tiga kediaman musnah dan rumah bersebelahan hanya terjejas sedikit. Menurutnya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 7.02 pagi,  ketika sampai di tempat kejadian, api sudah membakar 70 peratus kediaman mangsa. “Bomba dengan 15 kekuatan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pasir Mas mengambil masa kira-kira 15 minit mengawal dan memadam kebakaran. “Api cepat merebak memandangkan kediaman mangsa sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.
Baca sepenuhnya


| Copyright © 2013 MERADONG TODAY