Tiga militan Abu Sayyaf mati ditembak
TAWAU 9 Dis. - Sekurang-kurangnya tiga penjenayah dipercayai militan Abu Sayyaf maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Tawau yang menyamar sebagai nelayan di perairan negara berhampiran Pulau Gaya malam tadi.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, dipercayai tiga lagi anggota militan berkenaan berjaya ditangkap selepas cuba menculik kesemua individu di dalam bot berkenaan tanpa menyedari mereka adalah anggota polis yang melakukan penyamaran.
Katanya, ketika kejadian, kesemua anggota polis berkenaan sedang melakukan Op Coral dan menyamar sebagai nelayan dalam usaha membendung jenayah di perairan negara terutama insiden penculikan yang didalangi oleh militan dari selatan Filipina itu.
"Ketika sedang bertugas melakukan penyamaran, sebuah bot dinaiki militan berkenaan datang rapat dan cuba menculik kesemua anak kapal.
"Anggota PGA yang sudah bersiap sedia kemudiannya segera melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekurang-kurangnya tiga orang manakala yang selebihnya ditangkap," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Sementara itu, sumber tersebut berkata, kumpulan pejenayah berkenaan yang lengkap bersenjata turut melepaskan tembakan dan mencederakan seorang anggota keselamatan di bahagian kaki, namun mangsa telah dihantar ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan.
Op Coral yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan operasi khas untuk membendung jenayah di perairan negara manakala kawalan keselamatan di pulau-pulau dikenali sebagai Op Taring.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun dijangka mengadakan sidang akhbar di Semporna pada pukul 10 pagi ini.
-UO