Masih ingatkah kisah Ariff Alfian Rosli, bekas pelajar perubatan yang telah tiga tahun menghilangkan dan dipercayai berkahwin dengan teman sejenisnya di Ireland?
Bagi membantu kemelut ‘kehilangannya’ serta membantu pihak keluarganya dalam usaha untuk menyelesaikan notis tuntutan bayaran balik pinjaman sebanyak RM890,000 yang digunakan untuk membiayai pelajarannya,Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh telah terbang ke United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Namun apa yang mengecewakan, Muhd. Khairun mendedahkan yang beliau telah ‘dihalang’ untuk bertemu dengan Ariff Alfian di sana.
"Saya telah berusaha bermacam-macam cara namun semasa berada sini , saya telah ‘dihalang’ untuk bertemu dengan Ariff Alfian….antara halangannya termasuklah undang-undang Ireland sendiri yang ‘melindungi’ pelajar tersebut.
"Patutlah ibu bapanya masih gagal menemui anak mereka sendiri walaupun sudah lapan kali ke sini dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada Mynewshub.my dari London.
Kisah Ariff Alfian mula mendapat perhatian ramai apabila bapanya, Rosli Harun meminta pertolongan pihak Utusan Malaysia untuk mengesan anaknya itu yang gagal dihubungi sejak tiga tahun lalu.
Pesara pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berkhidmat selama 31 tahun itu buntu mengesan anak kedua daripada empat beradik itu setelah mencuba pelbagai usaha termasuk membuat laporan kepada polis, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Ireland dan Kedutaan Ireland di sini, dalam tempoh tersebut.
Namun akhirnya disahkan Ariff Alfian berada dalam keadaan selamat di sana.
Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam berkata, pihaknya maklum tentang kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian lagi.
Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.
Dalam pada itu, Muhd. Khairun berkata, pihaknya kini sedang berusaha agar Petronas boleh menyaman Ariff Alfian di negara tersebut.
” Kita kena ingat, yang sengsara adalah mereka yang menjadi penjamin kepada wang yang dipinjamnya itu…jumlahnya bukan sedikit.
” Sebab itu antara tujuan kita hendak bertemu dengan Ariff Alfian adalah untuk memberitahunya agar tidak lari dari masalah tersebut dan menyelesaikannya segera,” tegas beliau.
Petronas menamatkan penajaan Ariff Alfian berdasarkan keputusan dan pencapaian akademik tidak memuaskan yang melanggar syarat perjanjian pinjaman.- Oleh SYAHRIL A. KADIR (mynewshub.my)