'/>
PERAWAKANNYA yang warak dan selalu ke masjid mendorong budak-budak kampung rajin belajar mengaji dengan Pak Din sehingga ramai yang sudah boleh membaca Al-Quran.

Para penduduk sekitar Taman Mount Austin, Johor Bahru, juga tidak sedikit pun sangsi siapa Pak Din sebenarnya sehinggalah sepasukan polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur, menyerbu rumahnya dan mengaupnya pergi.

Penyamaran Yan Bai sebagai Pak Din terbongkar jua akhirnya.

"Ini engkaukan... engkaukan? Mana kau nak lari?'' kata Yan Bai ketika menyingkap operasi polis lengkap bersenjata sambil menunjukkan kad pengenalannya yang telah dibesarkan seperti poster dalam 2004 itu.

Mereka tidak menemui sebarang bukti - dadah atau senjata api - dan Yan Bai tetap diam membisu.

Yan Bai digeruni dalam "dunia jenayah" yang sering dikaitkan dengan sindiket mengedar dadah, pelacuran, pemerasan wang perlindungan, keganasan, perjudian dan rusuhan bagi mempertahankan "nombor" masing-masing hingga mengorbankan nyawa.

Sebagai ketua satu-satunya kumpulan samseng Melayu Omega, Yan Bai juga dalam senarai paling dikehendaki perisik polis bukan saja di sini malah di seberang Tambak.

Selepas beberapa minggu ditahan di lokap Bukit Aman, beliau dikawal ketat dalam perjalanan ke Johor Bahru dan kemudiannya diserahkan kepada polis Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Koswe sebelah Singapura.

Atas dakwaan sebagai pengasas Omega, beliau ditahan tanpa bicara di bawah Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau CLTPA.

Yan Bai, kini 51 tahun, pernah ditahan di Penjara Chia Keng di Yio Chu Kang Road pada 1987 di bawah akta sama kerana disyaki terlibat dalam rangkaian pengedaran heroin.

Beliau yang pernah dua kali keluar masuk pusat pemulihan dadah (DRC) menyimpan dendam kerana mendapati pengedar Melayu, termasuk beliau, ditindas sindiket dadah kaya raya yang dikuasai kumpulan samseng.

Atas pemikiran itulah beliau menubuhkan kumpulan Singapura 14, hasil perbincangan dengan beberapa banduan penjara itu yang kebanyakannya tinggal di sekitar Geylang.

Namun, kumpulan itu dibubarkan selepas dua tahun kerana sesetengah anggota melanggar etika gengster - terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Yan Bai, yang disokong enam banduan Melayu yang lain, kemudian mengangkat sumpah sehidup semati dengan Al-Quran untuk menubuhkan kumpulan Omega sempena sambutan hari jadinya pada 23 September 1989.

Dengan penubuhan kumpulan yang menarik penyertaan kian ramai banduan, beliau "turun cakap" dengan kepala gengster yang lain bagi membolehkan banduan Islam mengangkat wuduk di tandas antara 7 dengan 8 malam di penjara itu.

"Sebelum itu, susah nak ambil wuduk pada waktu maghrib dan isyak. Bayangkan lebih 30 orang berebut nak pakai tempat tandas yang hanya ada sebuah. Ada kepala gengster yang tak setuju tapi saya jumpa mereka one to one. Mereka tak berani angkat muka. Akhirnya semua ikut peraturan yang dipersetujui itu dan tiada lagi pergaduhan,'' sambung Yan Bai yang ditemui baru-baru ini dengan memakai jean hitam, sepatu sukan, dua rantai berjuntai di tengkuk serta gelang dan cincin berbaris.

Sejak itu, Yan Bai semakin dihormati di penjara yang kini telah pun dirobohkan.

Selepas lima setengah tahun, Yan Bai dipindahkan ke Kem Ahmad Ibrahim di Upper Thomson Road, tetapi melarikan diri hanya beberapa bulan selepas itu.

Ketika pelarian itulah kumpulan Omega semakin berkembang dengan para anggota semuanya Melayu bersepah di sana sini.

Kumpulan yang disifatkan sebagai berani mati itu beransur-ansur menguasai pengedaran dadah dan sekali gus mengurangkan monopoli kumpulan-kumpulan samseng lain.

Dalam 1990-an itulah masalah dadah di kalangan masyarakat Melayu memuncak sehingga ke tahap membimbangkan. Yan Bai ditangkap sekali lagi dan ditahan atas kesalahan melarikan diri dari penjara.

Beliau dibebaskan pada 2000 dan berkahwin pada hari jadinya - 23 September.

Menyedari gerak-geri dan kegiatannya dipantau polis, Yan Bai bersembunyi di Indonesia dan Malaysia tetapi masih memberi arahan kepada orang-orang kanannya di Singapura.

Jaringan rapat dan berurusan secara langsung dengan kongsi-kongsi gelap yang juga menguasai penyeludupan dan pengedaran dadah di Malaysia, menyaksikan Yan Bai dihormati dan diberi bantuan.

"Semuanya beres macam pasang siap apabila saya sampai ke Malaysia. Mereka kasi kad pengenalan, pasport dan serahkan sebuah kereta baru Proton Saga dengan hanya bayar sagu hati tanda persaudaraan sebanyak RM3,600.

"Jumlah tersebut juga sempena lambang kumpulan samseng 36 yang berpengaruh di Malaysia,'' kata Yan Bai sambil menyatakan para anggota kumpulannya hidup senang hasil kegiatan mengedar dadah tetapi dicemburui kumpulan-kumpulan samseng lain.

"Dulu budak-budak jam (Omega) nak dapat satu peket heroin, boleh buat 40 hingga 50 suku, pun susah daripada sindiket lain. Saya kasi budak-budak kita hidup. Satu peket saya tolak $80 dan mereka jual $250.

"Saya pastikan harga tetap di pasaran... tak boleh main bangsat,'' tambahnya.

Namun, sejak dibebaskan Februari lalu, beliau mengaku kesempitan kerana sukar mendapat pekerjaan dan kini dalam proses cerai.

BELIAU mengisytiharkan tidak lagi ada kena-mengena dengan Omega - kumpulan samseng 100 peratus Melayu yang diasaskannya lebih 24 tahun lalu.

Yan Bai, 51 tahun, tidak menyesal atas keputusan yang meletakkannya sebagai legenda kumpulan samseng Melayu yang dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang lain.

Kini, lelaki kulit sawo matang, badan bak bongkok udang dan muka fighter itu mahu hidup bebas daripada buruan polis dan tendang-terajang dunia jenayah.

"Saya rasa dah cukup. Hidup ini sekejap dan lantas saya ingin nikmati kemanisan di penghujung hayat saya. Dulu saya rasa saya kuat, berpengaruh, ditakuti dan boleh buat apa saja dan tak takut pada sesiapa.

"Tetapi, sekarang saya sedar Allah Maha Besar dan lebih berkuasa. Saya mahu jalan yang lurus sehingga di titian siratal mustakim.

"Saya dah tak mahu melakukan perkara-perkara yang tak baik lagi. Orang ingat saya sentiasa jahat tetapi saya selalu ingatkan budak-budak jam (Omega) supaya buat baik dengan ramai-ramai tolong jika ada kematian atau kerja lahwin.

"Jangan derhaka kepada ibu bapa... minta maaf dan cium tangan mereka sebelum terlambat.

"Saya juga selalu bilang mereka yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar,'' kata Yan Bai dengan penuh insaf kerana tidak sempat berbuat demikian kepada ibu bapanya sendiri.

Yan Bai dibebaskan Februari lalu selepas sembilan tahun meringkuk tanpa bicara di balik jeriji besi Penjara Changi atas dakwaan menjadi pengasas Omega.

Di sebalik kebebasan dan angin segar yang dihirupnya, Yan Bai diwajibkan melaporkan diri setiap minggu di sebuah balai polis dan wajib berada di rumah dari 7 malam hingga 7 pagi selama tiga tahun.

Bukan itu saja, beliau dilarang berada di 11 kawasan hitam termasuk Bedok, Geylang, Orchard Road, Choa Chu Kang, Chinatown, Boat Quay dan Clarke Quay.

"Saya juga dah tak lagi boleh campur atau duduk semeja dengan budak-budak jam atau gengster. Jika polis datang, mereka akan cekup saya,'' tambahnya.

Ditanya apa gahnya menjadi ketua atau "chong" kumpulan gangster, beliau hanya menyatakan "Tak ada apa-apa yang bagus. Saya hanya kawal dia orang dan saya pastikan mereka tak buat sebarangan.

"Kalau dalam penjara dulu, saya pastikan banduan Muslim dapat melakukan ibadah. Di luar, saya pastikan anggota kumpulan gengster Melayu tidak ditindas dan dibuli. Dunia gengster tak ada diplomasi!''

Mengenai para anggotanya yang dikatakan sekitar 1,000 orang itu, Yan Bai mendakwa tidak tahu berapa bilangan anggota Omega sekarang dan sama ada Omega masih hidup atau tidak.

Omega adalah singkatan bagi Only Malays Enter Gangster Association atau Hanya Melayu Masuk Persatuan Gengster.

"Biarkan cerita habis di sini. Lagipun, saya tak ada apa-apa masalah sejak saya laporkan diri kepada polis setiap minggu mulai tujuh bulan lalu,'' tambahnya.

Ditanya apa yang beliau paling kesali sepanjang 30 tahun bergelumang dalam dunia kongsi gelap, beliau berkata:

"Melayu bergaduh dengan Melayu dan Melayu bunuh Melayu!''

"Orang mungkin sangka saya selalu dikerumuni orang tetapi hakikatnya ialah saya selalu bersendiri. Hidup saya sunyi kerana para anggota saya tak berani himpit saya. Kalau ada 1,000 anggota, mungkin hanya 10 yang pernah duduk semeja dengan saya. Saya juga selalu menyembunyikan diri kerana elak diburu polis dan dalam jel pun sendirian berhad,'' tambahnya.

Diminta nasihatnya, beliau berkata: "Jangan campur gengster sebab anda tak dapat apa-apa tetapi hilang segala-galanya."

"Saya sendiri dah buang baju dan cuma berharap akhir kalam saya ialah Yan Bai berubah kepada yang baik,'' tambahnya

LAPORAN bahawa Singapura mengintip pergerakan Malaysia bukanlah suatu yang baru dan ianya tidak menghairankan. Dalam tempoh 5 tahun ini, Singapura semakin kerap menunjukkan keberanian dan kurang ajarnya campurtangan dalam hal-hal politik Malaysia. Antara persoalan lain ialah mengapakah syarikat enjin internet terbesar Google telah dipindahkan operasinya ke Singapura?
Atas alasan bisnes atau alasan pengintipan? Beberapa syarikat berkaitan seperti Waze yang berasal dari Israel juga perlu diperhatikan? Negara Thailand antara negara yang memahami aspirasi Singapura apabila Temasek Holding berusaha untuk membeli syarikat telekomunikasi milik mantan Perdana Menteri Thaksin Sinawatra.
Bukan sahaja rakyat Thai menghalau Temasek Holding, malah Thaksin turut dihalau hingga ke hari ini!Terbaharu beberapa bulan lalu di mana seorang Ahli Parlimen Singapura telah memanjangkan kakinya ke Malaysia. Apakah maksudnya ini
http://mymassa.blogspot.com/2013/10/menggemparkan-wakil-rakyat-singapura.html .

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY