'/>

Pencerobohan nelayan asing terutama warga Vietnam dilihat semakin membimbangkan apabila terdapat hampir 10 bot dari negara berkenaan dikesan menangkap ikan di perairan Sarawak dalam satu masa pada minggu lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata, pada Rabu lalu, pihaknya menerima laporan daripada nelayan tempatan tentang kehadiran beberapa bot nelayan Vietnam menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan yang merupakan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Beliau berkata, bertindak atas laporan tersebut, pihaknya telah menghantar sebuah kapal, iaitu KD Bijak bersama 14 anggota ke lokasi itu bagi menjalankan siasatan.

Katanya, tiba di kawasan perairan itu, anggotanya mendapati memang benar ada banyak bot nelayan Vietnam sedang menangkap ikan secara haram menggunakan pukat rawa.

“Pihak Maritim Malaysia hanya dapat menahan dua bot nelayan asing berkenaan, manakala kira-kira enam bot lagi berjaya melepaskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua bot yang ditahan, seramai 15 nelayan Vietnam termasuk tekong telah ditangkap kerana tidak memiliki lesen dan permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas, hari ini.

Menurut Ismaili, sebanyak 2,000 kilogram ikan bernilai kira-kira RM6,000 dan minyak diesel turut dirampas dari dua bot berkenaan.

Katanya, kesemua barang rampasan termasuk diesel akan dilelong kepada orang awam pada hari ini, manakala warga Vietnam berusia 19 hingga 47 tahun yang ditangkap disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Tambahnya, sejak Januari sehingga kini, sudah ada 18 bot nelayan asing ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.

“Jumlah kehadiran dan tangkapan membabitkan nelayan asing ini cukup membimbangkan kerana ia menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan mengakibatkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit setahun,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Sekadar hiasan 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM500 juta bagi Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang diberi nama Projek Penambahbaikan dan Pe­nyenggaraan Se­kolah Meng­gu­nakan Peruntukan Tabung Khas (PPKHAS) 2017.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY