'/>
BATU PAHAT - Seorang anggota polis berpangkat Koperal meninggal dunia pada majlis meminang bagi pihak anak lelakinya, di Sungai Suloh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Allahyarham Koperal Ali Mat Isa, 53, mengetuai rombongan keluarganya tiba-tiba rebah sejurus selesai meminang, ketika doa selamat sedang dibacakan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, anggotanya yang sudah berkhidmat di cawangan gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kira-kira 30 tahun itu disahkan meninggal dunia pada majlis berkenaan.

“Ketika itu, Allahyarham baru selesai bercakap bagi pihak lelaki, tetapi tiba-tiba terdiam sebelum tunduk pada majlis itu.

“Ketika doa selamat sedang dibacakan, Allahyarham terus rebah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Din berkata, suasana majlis bertukar kelam kabut dan Allahyarham dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan lanjut tetapi telah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Sepanjang berkhidmat di IPD, Allahyarham adalah seorang yang komited dalam menjalankan tugasnya selain mematuhi setiap peraturan dan berdisiplin.

“Kehilangannya amat dirasai oleh semua anggota IPD Batu Pahat, namun ini adalah ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurutnya, jenazah selamat dikebumikan di Seremban, Negeri Sembilan, selepas Maghrib, kelmarin

sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/koperal-meninggal-dunia-semasa-meminang-1.63368

posted from Bloggeroid

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY