'/>
Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu Tan Sri Abdul Taib Mahmud diberi sambutan meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini malam ini.
   
Pesawat khas yang membawa Taib dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib dari Kuala Lumpur mendarat di sini pada jam 8.50 malam, sebelum mereka disambut kira-kira 1,000 orang di landasan lapangan terbang.
   
Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem yang sebelum ini mengukir sejarah dalam negeri kerana menjadi Ketua Menteri kelima, mengetuai pembesar-pembesar tempatan menyambut kepulangan Taib.
   
Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kepada Taib di Istana Negara, Kuala Lumpur.
   
Istiadat itu yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Adenan. - Bernama



| Copyright © 2013 MERADONG TODAY