'/>

OPS GERGAJI BERSEPADU SERBU 48 LOKASI DI SARAWAK, BEKUKAN AKAUN SYARIKAT LEBIH RM560 JUTA

1. Ops Gergaji, satu operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak telah diadakan pada hari ini (12 Mei 2015) mulai jam 9.30 pagi.

2. Operasi bersepadu yang melibatkan sekurang-kurangnya 400 orang pegawai dan anggota dari Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak ini diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuklah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

3. Serbuan telah dilakukan secara serentak ke atas 48 lokasi yang disyaki berlakunya perbuatan rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan dan kilang papan di Sarawak. Serbuan ini adalah hasil daripada siasatan yang terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh oleh SPRM bersama agensi-agensi yang terlibat.

4. Daripada 48 lokasi yang diserbu itu, 27 adalah kilang papan dan logponds, selebihnya adalah premis-premis perniagaan yang terletak di enam (6) kawasan seperti yang berikut-

BIL KAWASAN
Miri: 13
Kuching: 12
Sibu: 12
Bintulu: 6
Bakun: 3
Kapit: 2
JUMLAH: 48 lokasi seluruh Sarawak.

5. Hasil serbuan setakat ini, sebanyak 375 akaun syarikat-syarikat dan individu bernilai lebih RM560 juta telah dibekukan. Dalam pada itu, sebanyak lebih 500 batang kayu balak juga telah disita oleh pihak SPRM. Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

ULASAN:
6. Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak. Adalah dipercayai bahawa perbuatan ini ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Langkah ini juga bertujuan melindungi khazanah alam sekitar Negeri Sarawak.

7. Kejayaan Ops Gergaji ini adalah hasil kerjasama yang erat anggota dan pegawai SPRM, Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

 
Sumber:
petikan kenyataan DATO’ MOHAMAD JAMIDAN BIN ABDULLAH
PENGARAH BAHAGIAN SIASATAN
SPRM

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak akan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun wujud desakan agar beliau meletak jawatan.

Ini telah disuarakan Menteri Pelancongan merangkap Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang berkata sokongan padu kepada Najib telah dengan dinyatakan dengan tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan tegas menyatakan kita (BN Sarawak) akan kekal teguh di belakang Najib meskipun dalam situasi sekarang,” katanya.

Rakyat ujarnya harus ingat bahawa Najib dipilih seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri menerusi sistem demokrasi dan diberi mandat memimpin negara.

“Biarlah beliau (Najib) mentadbir negara ini dengan aman dan mereka yang mendesaknya letak jawatan mesti ingat agar tidak hanya membataskan pemikiran dalam kalangan mereka.

“Anda perlu juga ingat Najib turut dipilih oleh rakyat Sarawak untuk memimpin negara bukan hanya rakyat di Semenanjung Malaysia. Jadi kami menyokong Perdana Menteri sekarang,” ujar Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sebagai menjawab desakan beberapa pihak yang mahukan Najib berundur daripada jawatan sekarang.

Sepanjang pemerintahan Najib, Sarawak dan Sabah telah menerima banyak peruntukan khususnya dalam membangunkan kawasan luar bandar yang sememangnya wajar diberikan bagi menyeimbangkan pembangunan bandar dan luar bandar di kedua-dua negeri tersebut.

Malah, kesediaan Najib dalam mendengar keluhan rakyat luar bandar di Sarawak dan Sabah telah menyebabkan sokongan ke atas Barisan Nasional dan Najib semakin kukuh sekaligus merancakkan lagi pembangunan di negeri di Kepulauan Borneo itu

Sumber:klexpress

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY