SARIKEI : “Perjuangan membela nasib rakyat pedalaman tidak ada titik noktahnya selagi saya bergelar wakil rakyat yang mewakili suara mereka,” itu tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Semop, Abdullah Haji Saidol.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perlantikan semulanya sebagai Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.
Menurut Abdullah, tumpuan utamanya sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan pedalaman ialah meraih perhatian kerajaan tentang betapa pentingnya usaha merapatkan jurang keselesaan antara bandar dan desa terutama sekali daripada sudut pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.
“Saya juga menyeru kerajaan kerajaan supaya mengambil pendekatan terkini lebih agresif bagi memperkasakan industri desa yang merangkumi bidang pertanian dan perikanan. Usaha itu, tidak hanya melalui bantuan subsidi peralatan, baja dan benih sahaja tetapi turut melakukan pemantauan secara lebih teliti ke atas hasil dan kesannya terhadap sosioekonomi penduduk.
“Sehingga ke hari ini masih ada penduduk mengeluh dan mendakwa, ada bantuan diterima oleh mereka yang tidak aktif atau produktif.
“Saya juga mahu pemantauan lebih serius dilakukan ke atas sistem subsidi minyak diesel di mana ada cerita kurang enak yang mengatakan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan meraih keuntungan segera daripada subsidi kerajaan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, kebocoran atau ketirisan tanpa pantauan yang ketat bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga kerajaan.
Ujarnya, setiap perbelanjaan kerajaan harus menghasilkan impak yang besar demi memakmurkan kehidupan rakyat sebagai kumpulan sasaran.
“Saya ingin membangkit sekali lagi projek-projek desa yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor ‘Ali Baba’ dengan sempurna serta tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kerajaan sentiasa membawa sebanyak yang mungkin projek untuk keperluan rakyat luar bandar. Bagaimana pun, jika pelaksanaannya dilakukan dengan sambil lewa, hasilnya bukan sahaja mengecewakan penduduk yang akan mengunakan kemudahan itu tapi juga satu pembaziran peruntukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN ke 11 lalu, hasil sokongan padu warga desa justeru, mereka harus mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan.
“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan asas serta menunaikan janji Piliharaya Negeri lalu. Ini kerana jika perkara ini tidak diambil perhatian serius, kekecewaan rakyat mungkin akan ditunjukkan dalam Piliharaya Parlimen tidak lama lagi,” tambahnya.
Related Pots
KUCHING : Projek Desa yang selama ini gagal mematuhi spesifikasi kerana adanya kontraktor-kontraktor Ali Baba yang melakukan kerja dengan sambil lewa sahaja.
ADUN Semop Merangkap Pengerusi BNBBC menyatakan umum mengetahui kontraktor-kontraktor Ali Baba keseluruhannya dimiliki bangsa yang semua orang tahu.
"Saya berharap kerajaan dapat membentuk satu mekanisma atau sistem pemantauan yang tegas terhadap pemegang-pemegang lesen yang tidak bertanggungjawab serta budaya monopoli oleh kontraktor-kontraktor tertentu yang mengawal hampir keseluruhan lesen kontraktor yang membida satu projek disatu kawasan," katanya.
"Kalau hasil kerja projek yang dilakukan benar-benar memuaskan dengan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, mungkin perkara sebegini tidak akan saya bangkitkan," ujarnya
Beliau turut menjelaskan masih terdapat sebahagian besar projek kecil di DUN Semop menunjukkan tanda-tanda pemantauan yang lemah serta mencurigakan.
Abdullah berkata demikian di Dewan Undangan Negeri Sarawak sebentar tadi.-Sarawakiana