SARIKEI: Generasi muda diingat supaya jangan hanya jadi wira Facebook sebaliknya bersama-sama membantu kerajaan membangunkan sosial dan ekonomi di semua peringkat negeri ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, orang muda perlu matang dan bijak mengurus idea serta pendapat terutamanya dalam media sosial di samping berhati-hati memberi pandangan tidak berasas.
“Wira sebenar ialah mereka yang menghulurkan sumbangan dengan idea baharu, bijak merangka aktiviti dan mampu melaksana program tanpa menunggu arahan. Jangan beri pandangan yang boleh mencetus kekeliruan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Pemuda PBB N35 Belawai dan Pengelola Karnival Belia Bah Berambeh Situk, di sini, malam kelmarin.
Hadir sama Pegawai Daerah Sarikei, Khalid Andong, Pegawai JASA Bahagian Sarikei, Ahmat Adai dan Ketua Pemuda PBB N.35 Belawai, Zaidi Nasar.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata, kebebasan internet pada masa ini membolehkan penggunanya melontar pandangan melalui pelbagai kaedah penyampaian dan nada bahasa.
Bagaimanapun katanya, ruang terbuka luas itu mempunyai kesan tersendiri kerana ada yang menjadi wira bersifat buang batu sembunyi tangan.
“Sikap sedemikian hanya akan membawa kesan negatif,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji komitmen padu penganjur menjayakan program berambeh sitok baru-baru ini.
Kejayaan program itu kata Len, membuktikan keupayaan pemimpin muda mengalas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
“Saya bangga melihat kesungguhan anak muda menjayakan aktiviti ini. Malah, penyertaan luar biasa dalam program ini juga amat mengkagumkan saya,” tambahnya.
Sumber: Utusan Borneo