'/>

KOTA BELUD 14 Nov. - Jika hampir dua minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah kehilangan dua wakil rakyatnya, kali ini parti itu ditimpa satu lagi masalah apabila 90 peratus Anggota Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Kota Belud keluar beramai-ramai meninggalkan parti itu hari ini.

Tindakan itu yang disertai langkah melepaskan semua jawatan yang disandang dalam cabang itu diketuai Ketua Penerangan cabang tersebut, Soloh Yuna.

"Keputusan ini kami buat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR yang gagal melaksanakan tanggungjawab membela dan menyatupadukan rakyat.

"Sejak kebelakangan ini, parti PKR khususnya di Sabah semakin teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, disebabkan pertelagahan sesama pemimpin PKR di Sabah, anggota dan kepimpinan PKR Cabang Kota Belud kehilangan arah tujuan.

"(PKR Cabang Kota Belud) tiada ketua, tiada pejabat, tiada mesyuarat dan tiada maklumat apa-apa untuk ahli mengenai status PKR Cabang Kota Belud. Kami tidak boleh terus berada dalam parti yang diibaratkan 'hidup segan mati tak mahu' ini," katanya. - BERNAMA

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY