'/>

Kerajaan Sarawak sekali lagi mencipta sejarah apabila 26 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan 30 setiausaha politik menandatangani ikrar integriti baru-baru ini. 

Majlis tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol yang juga pengerusi BNBBC dan ADUN Semop. Majlis menandatangai ikrar tersebut berlangsung di Dewan Undangan Negeri di sini disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

PAS Sarawak menyokong penuh hasrat kerajaan BN Sarawak wujudkan kerajaan berintegriti dengan mengisytiharkan harta wakil rakyat mereka tapi masih belum cukup kalau masih ada lagi diantara mereka yang masih belum mengisytiharkan harta mereka kepada umum agar mereka tidak dituduh mengumpul harta sepanjang mereka menjadi wakil rakyat atau menjadi menteri..

Begitu juga dengan wakil rakyat dari pembangkang juga perlu membuat perisytiharan harta mereka agar rakyat tahu siapa mereka sebelum dan selepas mereka terpilih menjadi wakil rakyat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pernah berkata “Beri saya peluang (“Give me a chance”) slogan yang akan diketengahnya dalam menghadapi pilihan raya umum Sarawak akan datang.

Ketua Menteri Sarawak berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya beberapa tahun untuk mencapai kejayaan yang impikan beliau buat Sarawak dan beliau mengakui tidak dapat melakukannya seorang diri tanpa kerjasama seluruh penduduk Sarawak.

Kalau Ketua Menteri Sarawak seorang saja yang bekerja untuk memulihkan intergriti serta membebaskan diri dari cengkaman rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedangkan masih terdapat lagi orang kuat mantan Ketua Menteri Sarawak dulu, mungkin sukar bagi rakyat hendak memberi peluang kepada beliau disebabkan bayangan dan pengaruh dari mantan Ketua Menteri dulu masih lagi menghantui fikiran orang ramai.

Sekiranya Adenan Satem hendak diberi peluang sekali lagi beliau perlu berani menukar atau merombakkan kabinet yang baru dengan mengugurkan menteri kabinet yang ada sekarang dengan yang lebih muda dan bebas dari unsur rasuah dan pengaruh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Dia perlu berani mengubah sesuatu kalau dia mahu diberi peluang sekali lagi, kalau dia terus mengekalkan menteri yang lama dan juga mereka yang ada masalah dalam pentadbiran yang lalu sudah pasti rakyat kurang yakin akan prestasi kabinet beliau.  

Ini bukan soal mencampuri urusan yang melibatkan pemilihan parti beliau tapi lebih kepada kepimpinan kerajaan Sarawak yang baru. Rakyat berhak bersuara siapa yang bakal memimpin mereka bukannya parti yang menang dalam pilihan raya.

Ianya perlu mengubah struktur pentadbiran yang lebih berkesan dan cekap dan bebas dari skandal yang boleh mencacatkan hasrat beliau menjadikan Sarawak sebuah negara yang bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Adenan Satem perlu mengembalikan semula hak rakyat yang telah disalahgunakan selama ini dengan memberi rakyat tempat tinggal serta kemudahan asas yang selama ini terpinggir terutama di kawasan luar bandar dan di pedalaman.

PAS Sarawak sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang lebih mementingkan kebajikan rakyat bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Walaupun wakil rakyat serta menteri mereka mengisytiharkan harta bukan bermakna mereka sudah benar-benar bebas dari unsur-unsur yang meragukan sekiranya rakyat masih belum mendapat maklumat yang tepat dari pihak berkuasa bagaimana mereka memperolehi harta mereka.

Penglibatan PAS dalam proses pilihan raya adalah bagi memenuhi tuntutan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Selain itu, penyertaan PAS di dalam pilihan raya ialah bertujuan untuk menawarkan alternatif dan memberikan kefahaman kepada rakyat negara ini terhadap dasar-dasar perjuangan Islam yang dibawanya. Kehadiran PAS bukan sekadar untuk merancakkan suasana pilihan raya tetapi dengan harapan untuk mencapai kemenangan bagi membuka laluan kepada perlaksanaan pemerintahan Islam yang adil untuk semua.

Ada kalanya kita setuju untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara tapi kalau ianya baik untuk rakyat maka kita akan memberi sokongan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kita sentiasa memberi kerjasama untuk kebajikan rakyat dan kita juga berharap kerajaan Sarawak tidak menghalang usaha baik kita untuk kebajikan rakyat di negara ini.

Jofri Jaraiee

PAS Miri, Sarawak

Sumber:agendadaily.com.my

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY