'/>

Kebanyakan rakyat Sarawak tidak bersetuju malah menyifatkan artikel yang ditulis wartawan Shane Fuentes dengan tajuk Adenan no action, talk only yang disiarkan di portal Free Malaysia Today (FMT) sebagai mempunyai agenda tidak baik kepada Ketua Menteri Sarawak.

Begitu juga dengan beberapa komen yang diberikan di dalam protal FMT itu yang dilihat mereka ini bukan rakyat Sarawak malah jauh sekali tinggal dan mengenali Sarawak. Atas sebab itu mereka ini mudah terpedaya dengan kenyataan-kenyataan yang ditulis penulis artikel FMT.

Apabila membaca artikel ini ternyata penulisnya tidak begitu arif tentang pentadbiran mahupun latar belakang politik Sarawak, sebaliknya tujuan artikel itu lebih kepada mencemar imej Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sepanjang tempoh Adenan memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak, telah banyak pembaharuan dan perubahan yang dilaksanakan di Sarawak dalam usaha memastikan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak telus dan bebas sebarang tuduhan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, pemerintahan Adenan adalah berfokus dan semuanya untuk rakyat.

“Ini merangkumi pencegahan rasuah, memerangi pembalakan haram, menurunkan kadar tarif elektrik dan banyak lagi.

“Dalam menjaga hak rakyat Sarawak, Adenan turut mengambil langkah berkesan dengan tidak membenarkan anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab bagi menghasut rakyat Sarawak,” katanya ketika mengulas pemerintahan Ketua Menteri Sarawak.

Timbalan Yang DiPertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg menyatakan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak telah memberi perubahan kepada pentadbiran Sarawak secara keseluruhannya.

“Ini dibuktikan dengan beberapa dasar baru yang telah digarap Ketua Menteri terutama yang membabitkan pembalakan haram.

“Tindakan tegas Ketua Menteri dalam mempertahankan kawasan hutan di Sarawak daripada terus dimonopoli oleh golongan yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya lagi.

Apa yang dilakukan Ketua Menteri Sarawak suatu pendekatan yang mudah diterima rakyat Sarawak melalui pendekatan sederhana tetapi terus kepada rakyat.

“Beliau telah melakukan pendekatan yang baik menerusi kesederhanaan dan menjaga keharmonian kaum.

“Labih penting, Adenan mengutamakan keperluan rakyat khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak seiring dengan pembangunan yang berlaku di Semenanjung Malaysia,” jawabnya ketika ditanya soalan berhubung pandangan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP, Dato Sri Wong Soon Koh berkata Ketua Menteri Sarawak kini telah menjadi pemimpin kesayangan Sarawak disebabkan pentadbirannya yang adil dan saksama untuk semua kaum.

“Ini dapat dilihat apabila Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan bukan RM3 juta tetapi RM4 juta kepada sekolah jenis kebangsaan di Sarawak,” jelasnya yang begitu gembira dengan pengumuman Ketua Menteri itu.

Adenan juga kini sedang dalam melihat keperluan sijil pendidikan sekolah jenis kebangsaan untuk diambil perhatian kerana berpendapat sudah tiba masanya sijil persekolahan mereka ini diiktiraf.

Dalam pada itu, bagi Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr. James Jemut Masing melihat Adenan sebagai seorang ahli politik yang bercakap secara terus terang dan bukan bercakap kosong.

“Rakyat tidak perlu meragui apa yang telah dan akan dibuat Ketua Menteri Sarawak kerana semua ini untuk rakyat.

“Jangan berfikir dua kali mengenai apa yang mahu beliau lakukan dan membawa rakyat Sarawak untuk terus maju ke hadapan,” katanya dengan penuh pengharapan daripada rakyat Sarawak.

Adenan juga memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat termasuk pembangkang dalam mentadbir negeri ini melangkah ke abad ke-21 dengan jayanya.

Manakala, bagi Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan menyifatkan walaupun baru setahun menggalas jawatan Ketua Menteri Sarawak, tetapi kerana beliau orang lama dan berpengalaman maka tiada masalah untuk beliau mentadbir Sarawak.

“Walaupun baru setahun memegang jawatan Ketua Menteri, tetapi dengan pengalamannya dan orang lama dalam politik Sarawak telah membawa kecemerlangan kepada Sarawak,” jelasnya.

Banyak lagi tindakan yang tidak pernah difikirkan rakyat telah dan akan dilaksanakan Adenan antaranya menandatangani dan ikrar integriti, mengurangkan kadar tarif elektrik, merealisasikan Lebuh Raya Pan Borneo dan cadangan mahu menghapuskan tol-tol di Sarawak.sumber:klxpress

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY