'/>


Kota Kinabalu – Akibat ditegur caranya memotong sawi salah, seorang wanita sanggup menikam teman lelakinya hingga mati di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Bandaran Berjaya, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Josyua Jesbon, 30, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat luka di dada kiri akibat ditikam menggunakan pisau sepanjang 20 sentimeter.

Wanita itu yang juga kekasih mangsa berusia 28 tahun kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh salah seorang rakannya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati cara wanita itu memotong sawi tidak disukai teman lelakinya.

“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan wanita itu tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mangsa lalu terus melakukan kerjanya.

“Sebaik saja selesai memotong sawi, dia kemudian duduk menghadap mangsa.

Ketika itu, mangsa masih tidak berpuas hati lalu memukul dan menumbuk kekasihnya bertubi-tubi.

“Wanita itu pada awalnya hanya menahan kesakitan, tetapi apabila berterusan dibelasah, dia yang sudah tidak tahan terus mengambil sebilah pisau dan menikam dada kiri mangsa.

“Berikutan tikaman itu, mangsa rebah dan wanita itu bergegas keluar dari bilik lalu mengetuk bilik sewa lain untuk meminta pertolongan,” katanya.

Seorang penghuni bilik itu kemudian keluar lalu memberikan telefon bimbit kepada wanita itu untuk menghubungi ambulans.

Mangsa dibawa ke Wad Kecemasan HQE, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Polis juga sudah merampas sebilah pisau berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik di HQE untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY