Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersuara – Ibrahim Ali patut ditangkap kerana kenyataan beliau yang jelas – perkauman, menghasut dan berbahaya
Ibrahim dipetik sebagai berkata: "Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.
"Apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Namun sehingga hari ini, kenyataan – mahu mempertahankan Melayu sehingga titisan darah terakhir dan kenyataan yang ekstrem meletakkan perpaduan kaum pada garisan getir – tidak diambil kira oleh kerajaan sebagai satu tindakan yang mengancam keselamatan dalam negara. Keadaan ini menimbulkan spekulasi yang di undang bahawa PERKASA dan Ibrahim Ali adalah alat UMNO dan kerajaan memerintah. Ini seakan diterima bila UMNO selain dari Pemuda UMNO tidak menolak kenyataan Ibrahim Ali dan tidak ada tindakan yang tepat diambil ke atas Ibrahim Ali yang hanya mahu memastikan politik beliau diterima UMNO.
Melihat PERKASA yang turut disertai oleh AHLI UMNO dan kenyataan Ibrahim Ali seakan Najib merestui apa yang dibuat oleh PERKASA maka BN dan UMNO seharusnya menunggu dan melihat sokongan massa kaum lain berubah dari BN ke pembangkang. Ini akan menyulitkan lagi apa yang mahu dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam konteks Satu Malaysia.
Kemungkinan Khairy Jamaluddin juga perlu menilai menghalang Pemuda UMNO Malaysia dari menyertai PERKASA selagi Ibrahim Ali tidak turun dari terus menerajui PERKASA. Ahli PERKASA seharus sedar bahawa kenyataan Ibrahim Ali songsang dan tidak menggambarkan kenyataan Melayu keseluruhan. Perjuangan Melayu yang dibawa oleh Ibrahim Ali adalah usang dan ortodoks dan ia tidak lain dari menghancurkan inisiatif kerajaan untuk mengajak kaum lain supaya bersatu di bawah BN. Hari ini PERKASA masih dilabel sebagai NGO sokongan UMNO dan ini tidak menguntungkan UMNO. Namun kita juga tertanya-tanya – mungkin benar PERKASA disokong oleh UMNO? Salah ke sekiranya andaian begitu terbit?