'/>

(Bernama) -- DAP memperlekehkan pengorbanan kaum Bumiputera Sarawak serta menyembunyikan fakta mengenai dasar kerajaan yang telah memberi manfaat kepada masyarakat Cina di negeri itu selama ini, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol di sini, hari ini.

Abdullah berkata hujah Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) bahawa kerajaan perlu mengubah dasar-dasarnya untuk memenangi kembali sokongan kaum Cina menunjukkan bahawa pembangkang gagal melihat apa yang sebenarnya berlaku di negeri ini.

Ketika membahaskan usul ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Sarawak semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Abdullah berkata, di kala pembangkang mahukan agar geran tahunan antara RM20 juta dan RM30 juta diberikan kepada sekolah-sekolah Cina, Abdullah berkata kerajaan sejak tiga tahun lepas telah menyalurkan geran sebanyak RM133 juta.

"Itu (jumlah) mencakupi kira-kira RM44 juta setiap tahun dan sudah lebih daripada apa yang diminta pembangkang," katanya.

Abdullah berkata majoriti Bumiputera di negeri ini, terutama di kawasan luar bandar, berpegang kepada dasar-dasar kerajaan iaitu perkongsian kekayaan untuk membolehkan kaum lain juga maju.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdullah yang juga Adun Semop berkata masyarakat Bumiputera membenarkan pendapatan diekstrak daripada sumber-sumber yang ada di kawasan mereka bagi membangunkan bandar-bandar awal seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

"Golongan Bumiputera membenarkan bandar-bandar dibangunkan sebagai pusat pentadbiran atau pusat komersial pertama. Siapa yang telah mendapat manfaat daripada itu (kemajuan), jika tidak orang Cina? tetapi Bumiputera merasakan ia adalah okay, kerana kami mahu bekerjasama dengan orang Cina ini," katanya.

Abdullah berkata, beliau tidak berniat untuk membuat sebarang kenyataan yang berbaur perkauman dalam persidangan dewan, sekadar untuk menyatakan fakta sebenar bagi menangkis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk orang Cina.

-- BERNAMA

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY