'/>

Setelah sekian lama Amerika tidak menghirup darah manusia, semalam Trump, Presiden USA yang berperangai ganjil, memulakan lagi episod serakah pembunuhan manusia yang tidak berdosa di bumi Syria dengan melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk, bom pemusnah jarak jauh yang mula digunakan pada 1991 semasa Operation Desert Storm.

Serangan dan pengeboman berskala besar itu dilancarkan kononnya bagi memusnahkan pangkalan ketenteraan dan depo simpanan senjata kimia yang digunakan oleh Rejim Bashar Assad  melancarkan serangan ke atas rakyat Syria yang memberontak.

Pencerobohan itu dijangka akan mengakibatkan kesan berangkai ke atas ekonomi dan politik global seperti mana yang berlaku ke atas Iraq, Libya dll negara yang pernah diceroboh oleh Amerika sebelum ini.

Serangan itu tidak sama sekali akan membawa kebaikan kepada sesiapapun, malah akan membunuh lebih banyak manusia yang tidak berdosa di bumi Syria.

-hassan busu

DEWAN RAKYAT CATAT TEMPOH PALING LAMA BERSIDANG

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke 13, pada 5 April mencatat rekod persidangan paling panjang dalam sejarah setelah berlangsung hampir 20 jam bermula 10 pagi semalam hingga 5.05 pagi ini.

Pembentangan RUU 164 Ditangguhkan - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 ditangguhkan pada persidangan Parlimen sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah menangguhkan pindaan Akta 164 itu untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional berkata pindaan Akta 164 itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk membuat penelitian semula (berdasarkan maklum balas) yang diperoleh daripada pakar-pakar agama, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu.

"Walaupun penelitian sebelum itu telah dilakukan tetapi kerajaan berpendirian pindaan Akta 164 itu harus dilihat semula bagi menentukan ia tidak terus menjadi polemik yang akhirnya membawa kemudaratan kepada negara secara keseluruhan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas status Akta 164 dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menggesa kerajaan menangguhkan pindaan Akta 164 itu kerana ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa kerajaan bukan beralah dalam isu berkenaan dan sentiasa komited dalam menjaga kepentingan dan hati semua kaum.

Ditanya jangka masa untuk akta itu siap diteliti, Ahmad Zahid berkata: "Itu terserah kepada Peguam Negara untuk meneliti aspek perundangan daripada pelbagai orang yang mempunyai komitmen untuk melihat akta itu."

Kerajaan juga menyerahkan kepada Peguam Negara untuk menyelesaikannya dan dimuktamadkan sebelum dibentang ke Kabinet untuk kelulusan bagi membolehkan ia dibentangkan di Parlimen, katanya.

-- BERNAMA

Perlu Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal - Zahid

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pengiktirafan bersama pensijilan halal perlu digalakkan dalam kalangan pelbagai badan pensijilan di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mencadangkan perkara ini berdasarkan kemungkinan agak sukar untuk mempunyai satu standard pensijilan yang seragam.

Timbalan perdana menteri menarik perhatian bahawa terdapat lebih 200 badan pensijilan di seluruh dunia yang mengeluarkan sijil dan logo halal masing-masing.

"Kita patut menggalakkan pengiktirafan bersama pensijilan masing-masing. Saya benar-benar berharap kita meneliti secara serius akan kemungkinan penyelesaian ini," kata Ahmad Zahid semasa merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Ketiadaan pensijilan yang seragam merupakan satu cabaran, katanya, selain memelihara integriti status halal itu.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah memasuki fasa ketiga dan fasa akhir pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dengan penekanan diberikan terhadap memperluaskan syarikat tempatan dan pengantarabangsaan industri halal.

Beliau berkata kerajaan Malaysia fokus terhadap pendekatan yang lebih holistik ke arah mewujudkan ekosistem halal untuk menjadikan negara sebuah hab halal global terkemuka.

Pendekatan itu, katanya, menekankan kepda peningkatan aktiviti melalui rangkaian pembekalan.

"Selain produk halal dan menyediakan perkhidmatan berkaitan halal, rangkaian pembekalan halal juga termasuk perbankan dan kewangan Islam, logistik, pelancongan, takaful dan perkhidmatan sokongan berkaitan halal yang lain," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata beberapa negara Arab telah menyatakan minat mereka untuk membina ekosistem halal dengan Malaysia.

Dari segi pembangunan ekonomi, Ahmad Zahid berkata produk halal Malaysia terus mendapat perhatian kukuh dalam kalangan pelanggan di seluruh dunia, dengan jumlah eksport meningkat daripada RM23.9 bilion dalam tahun 2011 kepada RM39.3 bilion tahun lepas.

"Kita melihat ini hasil daripada promosi agresif produk dan perkhidmatan halal kita melalui acara seperti Mihas serta misi dagangan kita di luar negara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata China ialah antara destinasi utama bagi eksport halal Malaysia bersama Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata produk utama yang dieksport ialah makanan dan minuman yang diikuti dengan bahan halal serta terbitan minyak sawit.

Adalah diunjurkan menjelang 2020, eksport halal tahunan Malaysia akan melebihi RM50 bilion.

Tahun ini, MIHAS 2017 menempatkan 580 pempamer dari 33 negara termasuk negara anggota ASEAN, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun dan Taiwan.

-- BERNAMA

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY