'/>

Harap penduduk Bintangor berhati-hati .Geng Toyol mengganas lagi...Berwaspada terutamanya pada musim hujan..

KUCHING: Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam akhbar kelmarin merupakan satu usaha jelas untuk melaga-lagakan BN Sarawak dengan UMNO.

Abdullah berkata tuduhan Chong yang menyatakan BN Sarawak disisihkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah percubaan amat lembik dan menonjolkan kempen politik keji yang diamalkan DAP. 

“Perdana Menteri (Najib) dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah berkali-kali menegaskan, UMNO tidak ada urusan atau kepentingan di Sarawak. Kita berurusan dengan kerajaan persekutuan dan bukan UMNO,” katanya dalam kenyataan semalam.

Adenan katanya sejak menjadi Ketua Menteri dari hari pertama mahu semua wakil rakyat Sarawak memberi tumpuan penuh menyelesaikan masalah dan keperluan rakyat terutama pembangunan luar bandar. 

“Pada masa yang sama Ketua Menteri serius tentang memperkasakan kecekapan dan integriti dalam pentadbiran awam. Majoriti orang Sarawak maklum kerajaan yang diketuai KM Adenan telah memenuhi kehendak rakyat, merancang dan berupaya memenuhinya. 

“Itu adalah asas kempen kami, membuktikan kepada rakyat Sarawak signifikan kepimpinan Adenan dan memberi keyakinan kepada mereka bahawa kepimpinan Adenan dapat diharapkan,” ujarnya.

Menurutnya, dakwaan Sarawak disisihkan oleh persekutuan juga tidak benar apabila Najib mengadakan kunjungan ke Sarawak lebih kerap daripada yang dilakukan Perdana Menteri lain sebelum ini. 

“Adakah kekerapan itu menunjukkan Sarawak di sisih?,” katanya sambil menambah Sarawak juga memiliki perwakilan yang besar jumlahnya dalam Kabinet Persekutuan.

“Apa yang benar ialah DAP Sarawak dipinggirkan oleh pemimpin mereka di Semenanjung Malaysia. “DAP Sarawak cuma kenderaan kecil dalam penipuan politik DAP Semenanjung Malaysia dalam usaha menjatuhkan kerajaan persekutuan,” katanya.

Abdullah berkata lagi, Chong dan DAP Sarawak sepanjang penggal mereka dipilih asyik sibuk berkempen dan cuba mencari kerelevenan mereka dalam arena politik Sarawak dengan kempen mereka yang penuh putar belit dan budaya politik keji. Ujarnya, DAP tidak pernah kedengaran memuji perkara baik yang dilakukan kerajaan, melainkan sekadar menumpang kejayaan BN.

Katanya DAP tidak ada apa yang boleh dibuktikan. Projek Go Rural mereka tidak lebih kepada hipokrit dan kempen hiasan untuk membeli undi dari beberapa kawasan terpilih sahaja. Tetapi mereka seolah-olah telah melakukan kejayaan besar menerusi usaha itu.

Chong dan rakan-rakan DAPnya mendakwa mereka tidak bergantung kepada pemimpin DAP di Semenanjung Malaysia. 

“Sesungguhnya ini tipu. Baru-baru ini mereka bangga mendakwa ratusan ahli politik DAP dari Semenanjung Malaysia sedia membantu mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri. 

“Datang ke Sarawak dengan begitu bongkak memberitahu bagaimana hendak menguruskan negeri kita dan sudah semestinya tidak melakukan apa-apa tetapi menabur perasaan benci dan memanipulasikan orang ramai dengan penipuan dan fitnah,” ujarnya.

“Adakah itu yang kita di Sarawak mahukan? Jelas sekali penyokong-penyokong DAP di Sarawak mencintai dan menyokong tindakan demikian. 

“Jika demikian, biarkan sahaja mereka, mengapa pedulikan untuk mendengar dan melayan orang jenis begini,” tegas Abdullah.

DAP katanya, cuma mahu mewujudkan kekecohan dan berharap memenangi sokongan politik dengan cara demikian. Malah katanya, Adenan bersungguh-sungguh berusaha memperolehi autonomi pentadbiran daripada kerajaan persekutuan dan Najib menunjukkan reaksi positif terhadap permintaan itu. 

Abdullah juga berharap kerajaan negeri akan terbabit lebih banyak dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan semua projek daripada persekutuan di Sarawak pada masa depan.

“Tugas kerajaan persekutuan ialah untuk menyediakan dana. Itu adalah perkara utama yang saya secara peribadinya mahu kerajaan negeri capai apabila berbincang mengenai autonomi pentadbiran daripada kerajaan persekutuan. 

“Ini akan mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar yang Adenan amat hajati dan untuk itu kerajaan pimpinan Adenan layak menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada warga Sarawak,” katanya. -UB-

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY