KUCHING: Kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjanjikan kesungguhan, keprihatinan dan keberanian bersuara demi kepentingan semua rakyat di negeri ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata ia berbeza dengan janji melampau diluahkan parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAS.
“Kerajaan BN di bawah kepimpinan Adenan tidak menjanjikan keajaiban seperti DAP, tidak juga kesempurnaan seperti dilaung PKR, jauh sekali menjanji syurga seperti PAS,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, kelmarin.
Beliau berkata Adenan juga begitu lantang memperjuangkan hak negeri dalam berbagai aspek pengurusan negeri sama ada dari segi pentadbiran dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan kerajaan sekarang dipimpin seorang individu yang dalam jiwanya ada Sarawak dan dalam hatinya ada rakyat,” ujarnya sambil menambah, disebabkan faktor tersebut, Adenan begitu popular di kalangan rakyat.
Malah, populariti sedemikian menyebabkannya menjadi mangsa cemuhan dan kritikan politik pembangkang yang mengakui dan percaya banyak tindakan serta keputusan Ketua Menteri adalah benar dan orang yang ‘cakap serupa bikin.’
“Kejujuran serta keikhlasan kepimpinan KM tidak harus diragui kerana beliau bersungguh-sungguh melakukan terbaik demi negeri Sarawak.
“Ketua Menteri seorang anak jati negeri Sarawak menerajui BN Sarawak di mana semua parti politik komponen dalam BN Sarawak adalah parti politik tempatan,” katanya.
Abdullah bagaimanapun hairan sikap pemimpin pembangkang mempersoal keikhlasan dan kejujuran Ketua Menteri dan kerajaan berusaha membanteras rasuah, memohon royalti minyak dan gas dinaikkan serta menuntut autonomi pentadbiran.
“Pembangkang kata tipu dan pembangkang kata itu semua cakap sahaja serta pembangkang kata kita akan gagal,” katanya.
Lebih teruk menurut Abdullah, apabila pemimpin parti pembangkang Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak berkempen dan cuba mengajar cara hendak menguruskan negeri.
“Ini perangai orang sombong, angkuh dan kiasu. Tapi mereka ini adalah tetamu kehormat orang politik pembangkang Sarawak, dibawa masuk ke negeri ini menghina kita orang Sarawak,” ujarnya.
Pada perbahasan sama, Abdullah memohon agar penulisan atau laporan berunsur perkauman dan keagamaan di Internet dilapor kepada polis kerana dikhuatiri jika berleluasa, akan memecahbelahkan perpaduan di Sarawak.
Apatah lagi apabila media sosial menjadi pentas kempen politik yang kian menyerlah dan berkesan, jelasnya.
“Penyalahgunaan media sosial interaktif seperti Facebook dan blog sering untuk menyebar berita dan cerita palsu menimbulkan perasaan buruk sangka serta fitnah melampau lagi keji,” katanya.
Sumber:Borneopost