'/>

KUCHING: Dua Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini diarahkan untuk melepaskan jawatan masing-masing dan menyerahkannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih rakyat, yang turut mewakili parti tersebut.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Haji Satem berkata, dua Ketua Cawangan tersebut ialah Datuk Abdul Wahab Dollah yang mengetuai Cawangan Jemoreng dan Datuk Bolhassan Di yang mengetuai Cawangan Beting Maro.

“Berdasarkan kepada Artikel 15 Perlembagaan PBB, yang menetapkan Adun secara automatik menjadi Ketua Cawangan PBBm kedua-dua tokoh ini dikehendaki menyerahkan tugas mereka kepada Datuk Dr Juanda Jaya (Jemoreng) dan Razaili Gapor (Beting Maro) sebagai ketua baharu.”

Adenan membuat pengumuman tersebut semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB dan mesyuarat Pra Sidang Dewan Undangan Negeri di salah sebuah hotel terkemuka di sini petang ini.

Sementara itu, Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, keputusan itu sah kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti, dan berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi, ia berkuat kuasa serta-merta.

“Dan dengan apa cara pun, kedua-dua penyandang ini perlu melepaskan jawatan mereka bagi membolehkan kedua-dua Adun tersebut mengambil alih.

“Ini bagi membolehkan mereka memberi khidmat secara lebih telus dan berkesan kepada rakyat, sambil menjaga perpaduan parti,” jelasnya.

Dalam mesyuarat yang sama kata Asfia, Majlis Tertinggi juga telah bersetuju untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Tritahunan PBB yang sepatutnya diadakan pada tahun hadapan, kepada tahun 2018.

Keputusan ini dilakukan selari dengan Artikel 13(2) Perlembagaan PBB yang menyebut Majlis Tertinggi parti akan menetapkan tarikh perhimpunan agung, selari dengan Seksyen 18(C) Akta Pertubuhan 1966. – Sarawakvoice

Foto by friends klxpress sarawak

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY