Ini 'kuasa baru' media sosial... bayangkan bagaimana satu rumah kosong, boleh jadi topik yang diperkatakan jutaan orang melalui berbagai medium media sosial, facebook, twitter, instagram...
Kadang-kadang kita naik 'seram' fikir macam mana satu-satu perkara boleh jadi 'viral' begitu dahsyat terutamanya ketika fakta dan mitos bercampur.
Al kisah Villa Nabila kononnya rumah kosong yang paling berhantu di Johor, nombor lima paling berhantu di Malaysia dan nombor 10 di seluruh dunia.
Entah siapa yang pergi periksa rumah-rumah berhantu ini pun tak ada yang tahu... cuma ia tersebar, meluas melalui media sosial.
Kononnya juga, Villa Nabila ini ditinggalkan selepas terjadi kes bunuh melibatkan budak kecil Nabila yang dibunuh orang gaji dan disimen di dalam dinding.
Sekali lagi, entah betul entah tidak, tapi itulah yang tersebar.
Villa Nabila jadi popular tiba-tiba kerana tersebarnya cerita kononnya 30 orang yang masuk ke rumah tersebut hilang secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, Bernama melaporkan hanya seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di Johor Bahru, sejak keluar pada Sabtu.
"Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai 'Villa Nabila'.
"Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di Johor Bahru, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan," katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, pada Isnin.
Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.
Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.
Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.
Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.
Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.
Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.
"Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.
"Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain," katanya.