'/>
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

"Fasal 18 RUU memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan bertujuan mengawal serta mengurus ancaman dan tindak balas di peringkat awal sebelum menjadi lebih teruk.

"Fasal ini diwujudkan bagi melengkapi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan; bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memproklamasi (mengisytihar) darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri.

"Kuasa mengisytihar darurat tetap terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong. Maka kenyataan bahawa Fasal 18 yang mengatakan perdana menteri mengambil alih kuasa Agong adalah tidak benar sama sekali kerana proklamasi darurat dan pengisytiharan kawasan keselamatan adalah berbeza," tegasnya.

Kepada cadangan memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak selain keanggotaan menteri dalam MKN, Shahidan berkata keanggotaan seseorang itu dipilih berdasarkan kepakaran dan bukannya semangat kenegerian.

"Keanggotaan dipilih di kalangan mereka yang bersesuaian dengan 'subject matter'. Keanggotaan terlalu ramai adalah kurang sesuai dengan fungsi utama majlis (MKN) yang berkisar kepada keselamatan dan rahsia negara.

"Tetapi majlis akan tubuhkan sesuatu jawatankuasa khas dan memerlukan ahli jawatankuasa (AJK) dan di sini mana-mana pihak termasuk menteri akan dipanggil jika ada keperluan demi kelancaran majlis," jelas Shahidan.

Dalam pada itu, apabila memperjelaskan tentang keperluan RUU itu sedangkan wujudnya undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Shahidan berkata tujuan kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dari segi fungsi dan tujuannya.

"Tujuan SOSMA adalah berkait mengenai prosedur dan siasatan berkaitan kesalahan keselamatan manakala POTA adalah untuk mencegah perlakuan pengganas yang beroperasi dari luar negara," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU itu lebih menjurus kepada peruntukan bagi pertubuhan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan pemberian kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

"Oleh itu, apabila dibangkitkan bahawa RUU MKN adalah serupa seperti SOSMA dan POTA, ia memang tidak benar dan tidak berasas sama sekali," katanya.

Rang undang-undang itu sebelum ini diluluskan di Dewan Negara pada 3 Dis lalu selepas berdepan laluan getir daripada anggota Parlimen pembangkang yang mendesak supaya ia ditarik atau ditangguhkan.
| Copyright © 2013 MERADONG TODAY