Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan kereta mewah dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua penjawat awam dan merampas enam kenderaan itu di Perak, Lembah Klang dan Pahang sejak 26 Mei lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Hassan Ibrahim, berkata pihaknya turut menahan lima penjawat awam termasuk yang berjawatan tinggi kerana membeli kereta mewah termasuk Toyota Estima dan Honda Odyssey yang dijual secara tunai hanya pada harga antara RM20,000 hingga RM70,000 sebuah.
Beliau berkata, sindiket berkenaan membawa masuk kenderaan mewah berkenaan dari Singapura dan kemudian mencari pembeli dengan mensasarkan kalangan penjawat awam sebagai pelanggan mereka.
Katanya, siasatan mendapati semua kenderaan berkenaan yang dibawa masuk secara sah dr Singapura tetapi tidak dibawa pulang selepas 30 hari, sudah melepasi pemeriksaan Unit Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan proses itu dipercayai dipermudahkan oleh kakitangan kerajaan yang ditahan bersama anggota sindiket itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi. - BH Online