'/>

SIMUNJAN: Hampir dua minggu selepas kehilangan Desmen Davey, 2 tahun yang ghaib selepas mandi di rumahnya di Kampung Ruan Baru di sini, pada 6 November lalu, satu petunjuk baharu ditemui semalam.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Zamzuri Mohamad ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan pihaknya menerima panggilan sekitar jam 7 malam semalam daripada bapa mangsa, Davey John yang memaklumkan bahawa seorang penduduk kampung, Jimba Tulis telah menemui satu mayat reput di atas Bukit Ruan, berhampiran tempat penduduk kampung menahan jerat, kira-kira 5 kilometer dari rumah mangsa.

“Sosok badan mayat yang ditemui adalah mayat kanak-kanak yang tidak sempurna, berbaju tetapi tidak berseluar.

Mayat tersebut kata Zamzuri, telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak sekitar jam 9.45 malam tadi untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

Sementara itu menurut sumber, berdasarkan baju yang digunakan oleh mangsa ketika dilaporkan hilang, ahli keluarga yakin ia adalah mayat Desmen.

Proses bedah siasat akan dijalankan sekitar jam 2 petang ini.

Sebelum ini, pelbagai cara telah dilakukan termasuk mengadakan upacara ritual untuk mengesan Desmen yang ghaib secara tiba-tiba.

Malah gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pelbagai pihak dan terpaksa dihentikan selepas pasukan SAR gagal menemui sebarang petunjuk baharu. – Sarawakvoice

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY