Insiden provokasi ke atas beberapa pemimpin DAP disifatkan sebagai tindakan balas dari masyarakat setempat yang sudah hilang sabar terhadap pemimpin parti itu yang selama ini bersikap 'lantang' terhadap kerajaan.
Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, penganjur program, tetamu dan pendengar yang hadir wajar mengambil iktibar dari insiden yang berlaku.
"Apa yang berlaku menunjukkan setiap tindakan ada reaksi. Setiap orang menilai dalam konteks yang berbeza.. ada yang memberi tindak balas baik atau tidak baik.
"This is Johor. Mereka perlu terima realiti bahawa tidak semua orang suka dengan apa yang kita buat," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan insiden yang berlaku tiada kaitan dengan Badan Perhubungan Umno Johor sebaliknya ia adalah tindak balas masyarakat setempat yang tidak berpuas hati terhadap parti itu.
"Kita bukan jenis parti yang suka buat provokasi sebab itu ada pihak cuba buli kita.
"Dalam perkara ini tidak timbul isu perkauman atau agama. Tetapi orang melihat dari pelbagai sudut tentang penganjuran program yang dijalankan itu," katanya.
Terdahulu, Forum Kedai Kopi DAP Bersama Masyarakat Sabah dan Sarawak di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, semalam yang dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertukar kecoh selepas diserbu kira-kira 100 individu.