Dua individu dalam gambar di sebelah sama-sama disiasat oleh SPRM selepas PRU 2008.
Dr Mohd Khir Toyo dari parti Umno disiasat dan seterusnya didakwa di mahkamah kerana dikatakan membeli rumah pada harga lebih rendah dari harga yang dibeli oleh pemilik asal.
Sepertimana yang kita semua tahu , Dr Khir telah didakwa, dibicarakan dan hukuman pun telah dijatuhkan terhadap beliau.
Manakala menantu Menteri Besar Kelantan dari parti Pas disiasat oleh SPRM kerana melakukan penyalagunaan kuasa semasa menjawat jawatan nombor satu dalam PMBK.
Walaupun telah bertahun disiasat, sehingga ke hari ini ianya masih tidak selesai-selesai. Jangan kata hendak didakwa atau dibicarakan di mahkamah, siasatan pun tak habis lagi.
Bukan niat kami di selangordaily.com untuk mempertikaikan kerja-kerja yang dilakukan oleh SPRM , tetapi cara SPRM itu membuat kami tertanya-tanya.
Jika kes Dr Khir boleh diselesaikan dengan begitu cepat, mengapa kes Ariffahmi begitu lama memakan masa ?
Tindakan dua NGO yang bertapak di Kelantan mempersoalkan SPRM tidak boleh kita remehkan. Apa yang dikatakan oleh mereka itu betul.
NGO persoal tiada tindakan terhadap Ariffahmi
KOTA BHARU 30 Dis. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mempersoalkan kenapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Mereka mendesak SPRM agar memaklumkan kepada umum sekiranya Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersalah atau tidak berhubung dakwaan berlaku penyelewengan ketika beliau menjawat jawatan tersebut.
SPRM diminta memaklumkan hasil siasatan untuk memastikan integriti suruhanjaya itu sentiasa terjaga kerana sikap berdiam diri SPRM berhubung isu itu boleh menimbulkan persepsi bahawa ada ‘tangan’ yang cuba menyelamatkan seseorang daripada didakwa atas kesalahan rasuah.
Timbalan Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, tempoh sehingga lebih dua tahun yang diambil SPRM untuk menyelesaikan siasatan sangat lama, menyebabkan timbul banyak persepsi negatif mengenainya.
“Ini boleh menimbulkan pelbagai reaksi termasuk adakah SPRM cuba melindungi sesetengah pihak apabila laporan hasil siasatan masih tidak dimaklumkan.
“Sikap mendiamkan diri itu juga sebenarnya menimbulkan persepsi negatif kepada yang dituduh dan kepada badan yang menjalankan siasatan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Siasatan SPRM terhadap Ariffahmi bermula pada 2009 apabila timbul dakwaan yang disiarkan di beberapa blog bahawa beliau melakukan penyelewengan di dalam PMBK selain kontroversi mengenai pelantikannya ke jawatan tersebut memandangkan Nik Aziz adalah bapa mertuanya.
Hasil siasatan itu, bagaimanapun masih belum diketahui kecuali kenyataan bekas Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu bahawa siasatan sudah selesai dan dihantar ke ibu pejabat suruhanjaya di Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Ia adalah kenyataan terakhir yang dikeluarkan SPRM Kelantan manakala ibu pejabat SPRM di Putrajaya juga masih belum mendedahkan sebarang laporan mengenai siasatan tersebut.
Wan Khairul Ikhsan menegaskan, ada dua perkara asas yang tidak boleh dipolitikkan di negara ini iaitu agama dan perbuatan rasuah justeru sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan itu perlu dihukum.
Sementara itu, Presiden Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak), Norazli Ahmad berkata, dakwaan mengenai penyelewengan itu sangat penting untuk diketahui umum kerana ia membabitkan sebuah kerajaan yang memerintah negeri.
“Pandangan saya kalau salah, dakwa dan kalau tidak, bebaskan. Cuma masalahnya sekarang, SPRM tidak berkata apa-apa selain kenyataan suruhanjaya itu bahawa laporan siasatan sudah dihantar ke Putrajaya.
“Rakyat mempunyai hak untuk tahu, justeru kita desak agar SPRM keluarkan hasil laporan siasatan dan bukannya terus berdiam diri kerana kita mahu tahu dan tidak akan lupa mengenai dakwaan penyelewengan itu,” katanya.
Kira-kira setahun yang lalu SPRM menyatakan mereka masih meneruskan siasatan ke atas menantu Nik Aziz dan kes itu tidak pernah ditutup. Mereka juga berkata , SPRM Negeri sedang menyediakan laporan untuk dibentangkan kepada Ibu Pejabat. Lihat di
sini.
Pada 31 Julai 2010, SPRM negeri telah menyatakan siasatan selesai dan kes telah diserahkan kepada SPRM Malaysia untuk tindakan lanjut. Enam bulan telah berlalu, tetapi sehingga ke hari ini SPRM masih lagi belum membuka mulut.
Nampaknya nasib Khir Toyo tidak sebaik nasib menantu Nik Aziz. Bukan sahaja nasib Khir tidak sebaik menantu Nik Aziz, malah nasib Khir juga tidak sebaik nasib Nik Aziz.
Khir diheret ke mahkamah oleh SPRM dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta hartanya dirampas kerana membeli rumah pada harga yang lebih murah ketika dia masih lagi menjawat jawatan MB. Dikatakan Khir telah menyalah guna kuasanya sebagai MB kerana penjual ada kepentingan dengan perniagaan dengan Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu.
Manakala Nik Aziz pula hanya diberi teguran oleh SPRM kerana menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar Kelantan melantik menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Apa yang dilakukan oleh Nik Aziz juga satu kesalahan kerana beliau juga ada kepentingan dengan menantunya. Tetapi nasib Nik Aziz lebih baik dari nasib Khir. Teguran sahaja ! Khir 12 bulan penjara !
Lihat minit mesyuarat bagaimana cara Nik Aziz melantik menantunya. Klik di
sini
Pembangkang sering menuduh SPRM alat kepada kerajaan pemerintah untuk menekan pembangkang dan sebagainya. Sekarang rakyat boleh melihat sendiri bagaimana hal yang sebenar. Siapa yang lebih banyak mendapat ‘perlindungan’ dari SRPM ?