Salah satu perkara yang agak menyerlah dari artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina ialah suara – suara ketidakpuasan mereka mengenai hak – hak keistimewaan orang Melayu. Mereka menceritakan keperluan membentuk Malaysian Malaysia dan ada pula di kalangan bangsa kita berpendapat bahawa hak – hak keistimewaan Melayu tersebut adalah punca Melayu menjadi malas.
Mungkin persoalan ini mampu dijawab oleh orang – orang Bumiputera khususnya Melayu pula : Apakah dengan pemupusan Hak – Hak Keistimewaan orang - orang Bumiputera maka ekonomi Melayu boleh berkembang? Apakah dengan menggadai hak – hak yang terpelihara tersebut maka Melayu tidak akan jadi malas lagi ?
Harus jawapan itu masih kabur dan tidak ada satu penentuan buatnya. Sebenarnya pengekalan hak - hak ini perlu dalam keadaan kita yang semakin tersisih dalam ekonomi. Masalahnya sekali lagi di tegaskan ialah, peruntukkan dalam perlembagaan untuk status bumiputera tidak salah tetapi apakah hak - hak keistimewaan itu dapat membantu kaum Melayu atau kaum Melayu tertentu sahaja yang memperoleh imbuhan dari peruntukan tersebut.
Keadaan ini boleh digambarkan sekali lagi dalam satu petikan khusus yang saya ambil dari Buku Integrasi Politik Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,
“Realitinya perlaksanaan “kedudukan istimewa” telah memburukkan lagi jurang di antara yang berada dengan golongan yang tidak berada dalam komuniti Melayu. … “kedudukan istimewa dapat dikira pada keseluruhannya telah menguntungkan satu kelas tertentu orang Melayu. Ia telah digunakan untuk menimbulkan satu golongan kapitalis – satu matlamat yang telah diusahakan dengan giatnya oleh kerajaan selepas 1969, walaupun ini memang sebahagian daripada dasar semenjak merdeka – malangnya pembentukan elit – elit Melayu ini tidak mampu membawa perubahan kepada Melayu keseluruhan dan di sebalik topeng untuk menolong orang - orang Melayu , kumpulan yang istimewa ini telah berjaya mengumpulkan kekayaan” ( pindaan di buat untuk mengukuhkan hujah)
Maka asas kesalahan polisi ini adalah pada perlaksanaan dan bukan pada dasar yang ada. Kita sehingga ke hari ini setelah semua rancangan Malaysia dari yang pertama sehingga ke sembilan, kita masih menceritakan kegagalan orang - orang Melayu. Kita menyalahkan budaya, adat, tingkah laku dan segalanya pada Melayu. Hari ini kalau di lihat dari jawapan artikel – atau komen - komen pada artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina , kita dapati bangsa lain turut membicarakan tentang kemalasan orang Melayu dan sikap orang Melayu. Apakah ini semua benar. Apakah benar Melayu itu tidak terdidik dari dahulu sehingga sekarang.
Di sinilah perjuangan Melayu itu patut timbul. Kita patut memperjuangkan agar minda orang - orang Melayu tidak terkongkong hasil usaha menggelapkan realiti yang sebenarnya. Kita bukan berjuang untuk mengalahkan orang - orang Cina. Kita berjuang untuk kesedaran orang – orang Melayu supaya bangkit dan melihat apa yang berlaku sekeliling kita. Kita bukan sahaja mempertahankan hak – hak yang secara membabi buta tetapi adalah untuk membantu kaum kita agar kita setanding dengan yang lain sebelum penghapusan hak – hak mahu dibuat. Apakah ini semuanya rasis – menaikkan provokasi untuk penentangan antara kaum ? Apakah mempertahankan hak – hak orang – orang Melayu dan keistimewaan yang telah wujud dalam perlembagaan itu satu usaha untuk memajukan orang - orang Melayu dianggap sebagai memecahbelahkan keharmonian kaum?
Apa pula sekiranya dibicarakan mengenai tuntutan untuk memansuhkan hak - hak bumiputera, memperjuangkan bahasa kaum - kaum lain, sekolah - sekolah jenis kebangsaan dan penghapusan kuota bumiputera merupakan satu perjuangan bangsa yang dibolehkan sedangkan usaha untuk mempertahankan hak - hak sedia ada pula dikatakan rasisme?
Masalah utama yang dipersoalkan oleh penulis dalam artikel Tanah Melayu Ketuanan Cina adalah kegagalan Melayu baik pemerintah mahu pun rakyat yang melahirkan kepimpinan. Pegangan Melayu telah dibuktikan mengecil dan pengejaran kita kepada 30% pegangan bumiputera sebenarnya menunjukkan keciciran yang jelas. Perhimpunan Agung Tahunan UMNO yang baru lepas membicarakan mengenai ketirisan dan ketirisan ini mampu mengatakan siapa yang sebenarnya mendapat faedah dari dasar - dasar kerajaan untuk bumiputera. Kita terus di takuk lama dan bangsa lain semakin jauh ke hadapan, khususnya bangsa Cina. Realiti bukan menghasut. Kalau ada pun unsur - unsur menghasut ianya adalah untuk orang - orang Melayu bangkit menentukan nasib mereka dan siapa sepatutnya memimpin mereka. Bagi orang - orang Cina dan bangsa - bangsa bukan Bumiputera, mereka terpelihara dalam satu perlembagaan yang setakat ini tidak menghalang mereka untuk hidup sejahtera di Malaysia sebagai anak Malaysia. Bangsa Melayu bagaimana pula?
sumber:umno-reform
No comments: