IKLAN

Thursday, 29 September 2011

KABINET NEGERI SARAWAK



Rombakan Kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menyaksikan pembentukan sebuah kementerian baru, lima kementerian ditukar nama dan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda.

Kementerian baru dalam rombakan kabinet, yang akan berkuatkuasa Jumaat ini, ialah Kementerian Pembangunan Kebajikan, Wanita dan Keluarga yang akan diketuai Datuk Fatimah Abdullah dan dibantu dua Menteri Muda yang juga muka baru iaitu Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat Vincent.

"Muka-muka baru Menteri Muda lain ialah Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr. Jerip Susil dan Liwan Lagang,” kata Taib pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Kesemua Menteri Muda baru itu akan mengangkat sumpah jawatan Jumaat ini.

Taib berkata, Julaihi dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar; Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr. Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) manakala Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan).

"Kesemua menteri penuh dikekalkan dan sebahagian kementerian mereka ditukar nama,” kata Abdul Taib.

No comments:

COPYRIGHT@SEGALA YANG DITULIS DIATAS ADALAH HAK MILIK MERADONG TODAY