'/>

Tentera Amerika Hina Mayat Taliban


alt


KABUL, 20 Apr - Gambar anggota tentera Amerika Syarikat menghina mayat musuh mereka diramal mencetuskan protes baru anti Amerika di Afghanistan, selepas akhbar Los Angeles Times (LAT) menyiarkan 18 foto berkenaan menyebabkan pejuang Taliban segera berikrar membalas dendam.

Pada 2012, satu skandal meletus setiap bulan yang menjejaskan hubungan antara Amerika dan kerajaan Afghanistan selain menggugat usaha memerangi Taliban.

Pada Januari lalu, satu video menunjukkan Marin Amerika kencing ke atas mayat Taliban disusuli isu membakar al-Quran pada bulan Februari manakala pada Mac lalu, seorang askar Amerika mengamuk dengan membunuh 17 penduduk di kediaman mangsa.

Pada bulan ini, LAT menyiarkan gambar menunjukkan insiden pada 2010 apabila beberapa askar bergambar dengan mayat musuh, seorang daripadanya meletakkan tangan mayat pada bahunya.

Selain mencetuskan kemarahan tempatan, ia juga menimbulkan desakan baru di negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya mengundurkan askar dari medan perang tidak popular itu.

“Di Barat, ada tanggapan kuat bahawa askar NATO memerangi keganasan selain membantu membina semula Afghanistan. Insiden seperti ini memperkuatkan persoalan apa sebenarnya kita lakukan di sana,” kata pemerhati Rangkaian Penganalisis Afghanistan, Martine van Bijlert.

"Bagi penduduk Afghanistan, ia mengesahkan pandangan tempatan mengenai askar Amerika dan antarabangsa iaitu mereka tidak peduli ataju menghormati mereka,” katanya lagi.

Kejadian berlaku pada Februari 2010 apabila unit payung terjun Divisyen ke-82 Pasukan Tempur Briged ke-2 dihantar ke balai polis wilayah Zabul untuk memeriksa mayat penyerang bunuh diri.

Anggota tentera itu diarah mendapatkan cap jari dan mengimbas mata mayat tetapi sebaliknya mengambil peluang untuk bergambar, lapor LAT.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta berkata, pihak bertanggungjawab akan dihukum tetapi pada masa sama kesal dengan langkah LAT menyiarkan gambar itu sekalipun dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Tetapi, itu tidak lagi penting bagi penduduk Afghanistan seperti Obaidullah, 20, siswazah menganggur di Kabul.

“Tentera Amerika yang bergambar dengan mayat pemberontak menunjukkan mereka tidak datang ke Afghanistan untuk berkhidmat dengan kami. Perbuatan mereka hanya akan memaksa penduduk Afghanistan menentang mereka,” katanya.

“Saya rasa kita perlu tunggu hingga selepas solat Jumaat untuk melihat sejauh mana gambar itu memberi kesan,” kata wakil Kumpulan Krisis Antarabangsa, Candace Rondeaux.

“Saya juga menganggap bahawa apa yang berlaku jelas menunjukkan askar Amerika yang sudah banyak kali bertugas di Iraq dan Afghanistan semakin muak dengan keadaan dan semangat mereka sudah banyak terjejas,” katanya lagi.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY