'/>

RAJA DADAH TUMPAS!

MEXICO CITY - Selepas 13 tahun bermaharajalela dalam sindiket yang banyak menumpahkan darah, raja dadah paling berkuasa iaitu Joaquin ‘El Chapo’ Guzman akhirnya berjaya ditahan di sebuah lokasi peranginan pantai Mexico, lalu diterbangkan ke penjara dengan kawalan ketat tentera laut.

Dalam serbuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) pagi semalam, tentera laut telah berjaya menangkap Guzman di sebuah kondominium dekat Mazatlan tanpa menembakkan walau sebutir perluru. Mazatlan merupakan bandar resort Pasifik di dalam negeri Sinaloa iaitu tempat asal Guzman.

Penangkapan itu disifatkan sebagai kemenangan besar bagi Presiden Enrique Pena Nieto yang selama ini bekerja keras untuk melemahkan kuasa dan keganasan sindiket dadah. Dalam tempoh tujuh tahun, seramai 77,000 orang telah menjadi korban dalam industri dadah Mexico.

Guzman yang digelar ‘El Chapo’ yang bermaksud ‘Si Pendek’ mengetuai geng dadah Sinaloa iaitu kartel paling ditakuti ramai. Pengaruhnya terjangkau di sepanjang perairan Pasifik dan turut menyeludup dadah ke AS, Eropah dan Asia

Beberapa jam selepas penangkapannya, raja dadah berusia 56 tahun itu telah dibawa ke lapangan terbang Mexico City untuk didedahkan kepada kamera televisyen. Guzman yang memiliki rambut tebal dan bermisai itu dilihat mengenakan kemeja putih dan berseluar jean.

Dia dikawal ketat oleh dua anggota yang bertopeng yang memegangnya di kedua-dua belah lengan dan di tengkuk sebelum dilihat dimasukkan ke dalam sebuah helikopter untuk diterbangkan ke dengan kawalan keselamatan tinggi.

AS pernah menawarkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM16.5 juta) bagi sebarang maklumat yang menjurus kepada penangkapan Guzman. - AFP

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY