Operasi pembenihan awan diteruskan pada Selasa dengan tumpuan lokasi di kawasan selatan Semenanjung, kata Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi (JMM) Azhar Ishak.
Menurutnya, tumpuan masih diberi kepada kawasan tadahan air dan empangan yang dilaporkan surut akibat cuaca panas dan kering sejak akhir-akhir ini yang membawa kepada catuan bekalan air di sekitar Lembah Klang.
“Kami akan tunggu sehingga kira-kira pukul 1 tengah hari hingga 2 petang ini dan berpandukan kepada gambar radar untuk melihat kawasan yang terdapat pembentukan tompokan awan yang sesuai.
“Kemudian, barulah kami lakukan pembenihan itu,” katanya.
Menurutnya, setiap operasi mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam dengan kos sekitar RM80,000.
Mengulas lanjut, Azhar berkata sekiranya keadaan atmosfera tidak stabil, pembentukan awan akan terjadi lebih cepat.
“…dan sekiranya ini berlaku di kawasan empangan, pihak kami akan cuba membantu mempercepatkan proses itu (dengan melakukan pembenihan awan) supaya hujan turun di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata maklumat tentang bacaan hujan susulan operasi pembenihan awan yang dibuat semalam telah diperoleh dan sedang diproses.
Ibu negara mengalami hujan sekejap pagi ini ketika warga kota memulakan rutin harian dalam suasana berjerebu.
Menurut Azhar, hujan pagi ini merupakan ‘baki’ daripada aktiviti pembenihan awan pada Isnin.
Pembakaran terbuka dan cuaca panas dilapor menyumbang kepada keadaan jerebu yang melanda beberapa lokasi di negara ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat dicatat setakat 10 pagi ini di kawasan Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam di Selangor; Batu Muda di sini; dan Nilai di Negeri Sembilan. - BERNAMA
No comments: