'/>

Asia tarik balik keluaran terkini majalah 3sixty

AirAsia menarik balik keluaran terkini majalah Travel 3Sixty daripada kesemua penerbangannya serta-merta kerana satu baris ayat yang menyinggung di dalam kolum bulanan yang secara tidak sengaja mengaitkannya dengan penerbangan MH370. 

Pengerusi Eksekutif Air Asia dan Penerbit Majalah Travel 3Sixty, Datuk Kamarudin Meranun berkata, penulis kolum, Kapten Lim Khoy Hing, seorang juruterbang bersara yang pernah berkhidmat dengan AirAsia dan Malaysia Airlines serta menulis buku-buku mengenai industri penerbangan, menyediakan semua artikelnya beberapa bulan lebih awal sebelum majalah itu dicetak. 

"Tidak disengajakan dan dikesali, isu semasa dalam artikel itu membincangkan radar dan sistem kedudukan sejagat (GPS), yang telah dicetak sebulan sebelum tarikh keluarannya," beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini. 

Kamarudin berkata majalah Travel 3Sixty telah menyelesaikan isu itu dan memperbaiki proses kelulusan editorialnya bagi memastikan perkara itu tidak berlaku di masa hadapan. 

Beliau berkata, tindakan disiplin akan diambil ke atas pasukan editorial majalah itu. 

"Ini adalah masa yang sukar untuk negara dan perkataan tidak dapat menerangkan bagaimana saya secara peribadi merasai insiden itu. Ia benar-benar menyedihkan saya bahawa artikel itu dikeluarkan pada masa yang tidak kena," katanya. 

Mukasurat yang menyatakan baris ayat itu, 'Pastikan Kapten kamu bersedia sepenuhnya untuk memastikan pesawat kamu tidak akan hilang. Semoga penerbangan selamat,' kemudian diambil gambarnya oleh seorang penumpang dan dihantar ke laman blog. 
- BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY