'/>

Dun Sarawak lulus usul tambah royalti minyak dan gas

KUCHING - Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
   
Usul yang dibentang Abdullah Saidol (BN-Semop) itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir.
   
Ketika membentangkan usul tersebut, Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan negeri ini mendapat hasil tambahan untuk disalurkan secara khusus bagi melaksanakan pembangunan luar bandar.
   
"Sudah tentu Kerajaan Persekutuan akan mendengar dan menerima permohonan kami ini kerana kami, sebagai Barisan Nasional Negeri, adalah rakan akrab mereka, yang mempunyai wakil majoriti dalam kerajaan yang memerintah sekarang," katanya.
   
Abdullah berkata, beliau sedar permohonan penambahan kadar royalti itu memerlukan semakan semula dibuat terhadap undang-undang dan perjanjian tertentu antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Abdullah berkata, semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan Sarawak mempercepatkan rentak pembangunannya agar setanding dengan tempat lain yang sudah maju di Semenanjung.
   
Katanya untuk mencapai tujuan itu, kewujudan dana lebih besar sahaja tidak memadai kerana ia juga memerlukan negeri ini berada dalam keadaan aman dan stabil.
   
"Tiada gunanya bercakap tentang royalti jika tidak ada kesetiaan dalam kalangan rakyat kita terhadap makna sebenar keamanan dan semangat bersatu-padu," kata beliau.
   
Sementara itu, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), ketika menyokong usul itu menyuarakan harapannya agar dana tambahan yang diterima kelak akan diguna secara telus, adil dan saksama.
   
"Melalui sokongan kuat sebulat suara dewan ini, (kejayaan mendapat bayaran royalti lebih tinggi) boleh memberi manfaat besar kepada Sarawak," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY