SARIKEI: Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun maut setelah dirempuh oleh sebuah kereta pacuan empat roda milik sebuah jabatan kerajaan di sini, petang kelmarin.
Kejadian berlaku pada jam 4.45 petang berhampiran dengan Jambatan Sungai Nyelong 2, iaitu kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar Sarikei.
Menurut ibu mangsa yang berusia 30-an, sebelum kejadian dia bersama adik perempuan mangsa hendak ke seberang jalan untuk membuang sampah.
“Saya langsung tidak menyedari mangsa mengekori kami. Setibanya kami berdua di seberang jalan, tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat.
“Apabila menoleh ke belakang, saya melihat sebuah kereta pacuan empat roda dari arah Bintangor menuju ke Sarikei melintas. Pada masa yang sama, saya lihat satu tubuh kecil terbaring di tepi jalan.
“Ketika itu, baharulah saya sedar tubuh kecil yang berlumuran darah itu adalah anak lelaki saya,” katanya.
Menurut sumber, keluarga mangsa menyewa sebuah rumah di situ sejak beberapa bulan lalu berikutan bapa mangsa bekerja sebagai seorang pemandu lori balak di kawasan berhampiran.
Keluarga mangsa dipercayai berasal dari Bintulu.
No comments: