Wujud dua kumpulan (duduk dan berdiri) sebelum menunaikan solat.
Kedudukan antara jemaah kumpulan 1 dan 2
RANTAU PANJANG – Ramadan yang mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam.
Kejadian sejak 3 Julai lalu, menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat fardu dan tarawih.
Kebiasaannya kes seumpama ini dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini, kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama Islam.
Perselisihan ini membawa kepada percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat.
Tinjauan mendapati, perpecahan itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang.
Bagi kumpulan pertama ia diketuai oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah lain di belakang saf pertama.
Pengakuan kumpulan satu
Pemilik tapak masjid berkenaan, Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru Zakaria) sebelum ini.
Menurutnya, ketika itu tiada masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini.
“Mungkin mereka tidak berpuas hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah seumpama itu.
“Bagi saya, saya amat berbangga apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya,” katanya.
Beliau yang juga guru di sekolah dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut Tarekat Tarjani.
Menurutnya, selawat dan solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah.
Namun katanya, penduduk tidak yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan solat di masjid ini.
“Saya paling kecewa pada 2012 lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik,” katanya.
Menurutnya, tindakan penduduk kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan huru-hara.
Disebabkan katanya, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu.
Kumpulan kedua beri penjelasan
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu.
Ketika itu katanya, penduduk dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria.
Beberapa lama selepas itu, Mohd Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak membenarkan 13 penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu.
Memandangkan masjid ini dibina di atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan perselisihan.
Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurutnya, jemaah dari kumpulan Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan berganjak dari saf depan menyebabkan kejadian solat dua imam serentak.
Katanya, penduduk sukar tunaikan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan berganjak dari saf hadapan.
Maka katanya, jemaah terpaksa membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih.
“Mereka hanya duduk di hadapan saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat.
“Disebabkan waktu Isyak semakin menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa menunggu mereka selesai berselawat,” katanya.
Keadaan ini katanya, turut berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut dua imam berlainan.
Sementara itu, penduduk, Ismail Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam satu-satu masa.
Namun katanya, insiden ini menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk untuk beribadah di bulan Ramadan.
Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung kejadian ini.
Namun katanya, Maik akan hantar pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan.
“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah ALLAH,"katanya.
Sinarharian
No comments: