'/>

JAKIM siasat Gambar individu Cacah Kalimah Suci Islam di badan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)akan menyiasat penyebaran gambar seorang individu yang mencacah kalimah suci Islam di badannya seperti yang tersebar luas di Facebook.
   
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, Jakim akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan individu tersebut.
   
"Kita telah menerima laporan dan telah meminta pegawai pejabat agama untuk memeriksa perkara tersebut. Buat masa ini kita belum tahu siapa individu tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Salam Mesra Salam FM' di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
   
Beliau diminta mengulas mengenai gambar seorang lelaki berumur lingkungan 30-an dengan tatu pada badannya seperti di dahi, leher dan tangan yang tertera  kalimah 'Bismillah', 'ALLAH' dan lain-lain lagi.
   
"Perbuatan lelaki itu adalah haram dan mencemarkan kesucian kalimah tersebut, walaupun kalimah itu merupakan sesuatu yang mulia.

"Perbuatan itu tidak kena tempat. Jika mahu menyanjung al-Quran,  boleh dibuat dengan cara lain seperti menghafaz 30 juzuk al-Quran," kata Othman sambil meminta individu terbabit agar bertaubat.
   
Mengenai Salam FM, beliau berkata Jakim bersedia melanjutkan tempoh siarannya dari tengah malam hingga 8 pagi jika dibenarkan.
   
"Jakim bersedia, memandangkan Kompleks Islam di Presint 3 (Putrajaya) hampir siap tahun depan dengan kemudahan antaranya studio baharu," katanya.
   
Salam FM kini menumpang slot saluran Asyik FM yang berfrekuensi 91.1 fm sejak lima tahun lepas. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY