Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini membuat tinjauan banjir di Sarawak yang bermula di Kuching dan menyifatkan ianya membimbangkan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan media hari ini berkata menerusi tinjauan yang dilakukan, didapati keadaan agak membimbangkan dan kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap siaga dari awal dalam berdepan sebarang kemungkinan.
“Rohani dalam lawatan tersebut turut ke Bilik Gerakan Bencana Banjir JKM Negeri Sarawak yang beroperasi 24 jam yang diselaraskan oleh seluruh warga kerja JKM Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, laporan sehingga pukul 4 petang hari ini menunjukkan bahawa sebanyak 44 pusat pemindahan telah dibuka di negeri Sarawak yang terjejas banjir melibatkan seramai 1,951 keluarga dengan 8,067 mangsa.
“Saya amat mengambil berat dengan keadaan banjir di Sarawak, saya berharap persediaan pengurusan banjir di sini lebih aktif walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran yang lebih besar disebabkan faktor lokasi,” kata Rohani dalam kenyataan sama.
Faktor Geografi negeri itu yang besar dan luas termasuk kawasan pedalaman yang berjauhan antara satu tempat dengan tempat yang lain agak menyukarkan saluran penyampaian bantuan.
Warga emas yang tidak berkeupayaan terpaksa diangkat untuk dipindahkan dalam keadaan banjir di Kampung Endap, Samarahan.
“Kita berusaha sedaya upaya agar bantuan dapat disampaikan kepada semua mangsa bencana dalam keadaan selamat,” kata beliau.
Bagi negeri di Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir, Kelantan dan Perak tidak berubah berbanding rekod pada tengah hari.
Tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Sarawak ialah pada 6,952 manakala di Kelantan merekodkan 255 orang dan Perak 78 orang.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata sebanyak 23 pusat pemindahan dibuka di Kuching menempatkan 4,269 mangsa, sebanyak 13 pusat pemindahan di Samarahan dengan 1,729 mangsa, tiga pusat pemindahan di Limbang menempatkan 765 mangsa manakala dua pusat pemindahan di Mukah dengan 189 mangsa.
Menurut MKN negeri itu, sebanyak 14 buah sekolah masih ditutup akibat banjir manakala 22 buah lagi masih beroperasi.
No comments: