Di sebalik kekecohan yang berlaku gara-gara hari pertama perlaksanaan GST semalam, peguam PKR, Latheefa Koya juga kecoh dengan isu penolakan petisyen permohonan pengampunan DiRaja untuk membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataannya semalam, dia begitu biadap apabila seolah enggan mengiktiraf keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Latheefa dalam kenyataannya mahu Yang DiPertuan Agong sendiri yang menulis dan menghantar keputusan Lembaga Pengampunan itu kepada keluarga Anwar, selain turut mempertikai tentang Peraturan 113, Peraturan Penjara bawah Akta Penjara 1995.
Katanya, isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak membuat permohonan rayuan bawah Peraturan 113 dan mendakwa penolakan rayuan oleh Lembaga Pengampunan itu dibuat di bawah Peraturan 113 tersebut.
Saya tertanya-tanya, tidak ada perkara lain lagikah yang hendak dipertikai Latheefa selain dari perkara remeh seperti itu? Sama ada di bawah peraturan mana sekalipun, yang jelas ialah Lembaga Pengampunan itu berhak untuk menolak petisyen rayuan tersebut.
Sebagaimana maklum, Tuanku Abdul Halim merupakan pengerusi Lembaga Pengampunan itu. Saya yakin, lembaga berkenaan mempunyai seorang pencatat segala perbincangan dalam membuat sebarang keputusan permohonan.
Jadi, sebagai pengerusi, takkanlah tugas Yang DiPertuan Agong untuk mengarang sendiri surat penolakan permohonan petisyen untuk membebaskan Anwar itu, kan? Saya yakin, Tuanku Abdul Halim tahu dan bersetuju dengan penolakan petisyen berkenaan.
Siapa Latheefa untuk menyuruh Yang DiPertuan Agong membuat itu dan ini mengikut kemahuannya? Mahu Tuanku Abdul Halim menulis dan menghantar sendiri keputusan permohonan pengampunan DiRaja tersebut?
Ya. Kini jelas Anwar tidak diampun oleh Yang DiPertuan Agong. Malah kini Anwar bukan lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh. Yang saya kesalkan ialah reaksi biadap dari Latheefa Koya atas keputusan Lembaga Pengampunan itu.
Pada saya, kenyataan mempertikai keputusan yang dibuat oleh Yang DiPertuan Agong itu adalah satu tindakan yang biadap walau apa jua alasannya.
Bayangkan jika anak anda merayu supaya anda membuat sesuatu untuknya. Namun atas prinsip keadilan dan kewajaran, anda menolak rayuan anak anda itu. Disebabkan anda menolak rayuannya, tiba-tiba anak anda mempertikai keputusan tersebut.
Biadap atau tidak? Dia merayu memohon sesuatu dan bila ditolak, dia nak mengamuk. Pada saya, itu tindakan biadap dan jelas tidak menghormati ibu bapa. Pada saya, begitulah lebih kurang sikap Latheefa terhadap keputusan Yang DiPertuan Agong itu.
No comments: