'/>

Wujudkan undang-undang sabotaj ekonomi – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan penubuhan undang-undang sabotaj ekonomi bagi menghalang aktiviti penjualan tender oleh kontraktor bumiputera kepada pihak ketiga.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, tindakan menjual tender perlu dijadikan satu kesalahan jenayah memandangkan perbuatan tersebut menyebabkan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi bumiputera gagal dicapai.

Beliau berkata, jika tidak dibendung, tindakan kontraktor tersebut yang dilabel sebagai musuh negara akan turut menjadi penghalang kepada peluang generasi muda yang berminat atau mahu belajar dalam bidang berkenaan.

“Sudah sampai masanya anak Melayu yang merosakkan nama bangsanya dengan menjual 100 peratus kontrak yang diberikan perlu dihukum di bawah undang-undang ini.

“Kalau seorang anak Melayu betul-betul menjalankan konsesi balak yang diterima, akan terbina kilang papan orang Melayu, akan lahir kilang pe­rabot Melayu, namun dalam pengalaman saya, baru dapat kawasan balak sudah dapat cek sedangkan balak belum diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana Isu Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa - Ancaman Terhadap Kesejahteraan Rak­yat dan Kestabilan Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Pensyarah Undang-undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Halim Sidek dan peguam, Zainur Zakaria.

Dalam ucapannya, Abu Kassim turut menyatakan kesal dengan tindakan yang diambil terhadap penjawat awam yang didapati melakukan pecah amanah seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) setiap tahun.

Katanya, langkah menjatuhkan hukuman dengan hanya memberikan amaran kepada pesalah tidak cukup kerana kesalahan yang dilakukan telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Setiap tahun LKAN kata ada banyak pembaziran, pemutar skru dibeli dengan harga 10 kali ganda, rundingan dibuat bukan untuk harga rendah tetapi harga tinggi dan akhirnya hanya sekadar tindakan tatatertib diambil.

“Apabila tindakan tatatertib, kadang-kadang hanya amaran, itu sebabnya saya rasa sudah tiba masanya tindakan undang-undang diambil,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Abu Kassim turut mencadangkan Akta 694 diperkasakan dengan menambah peruntukan liabiliti korporat sebagai langkah kawalan dalaman bagi mencegah pekerja melakukan kesalahan rasuah demi manfaat institusi korporat.

“Banyak peniaga kata pegawai kerajaan rasuah, maka menjadi budaya mereka untuk memberikan rasuah, ini adalah stigma yang perlu disanggah dan untuk mendidik semua pihak saya rasa tidak cukup, perlu ada undang-undang berkesan,” tegasnya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY