'/>

Kerajaan Sarawak akan cuba ringan beban kos sara hidup rakyat Sarawak-CM Sarawak

TANJUNG MANIS: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau memohon peruntukan sejumlah RM500 juta lagi daripada kerajaan pusat.

Beliau berkata peruntukan tersebut digunakan untuk menambah bilangan kemudahan di kawasan luar bandar.

Katanya di Sarawak jurang kemiskinan antara penduduk bandar dan luar bandar agak besar dan perlu dirapatkan.

“Sebab itu ketika mula menyandang jawatan Ketua Menteri, saya berfikir bagaimana menolong orang miskin khususnya di luar bandar.

“Jurang kemiskinan ini perlu dirapatkan menerusi menambah bilangan kemudahan sedia ada di luar bandar,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Kemudahan Simpanan Pukal Minyak Kelapa Sawit Bulkers Sdn Bhd di sini semalam.

Menurut Adenan, beliau juga mencadangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya elaun diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan rakyat miskin ditambah.

Jelas beliau, golongan ini sangat memerlukan sumber kewangan mencukupi bagi menampung kehidupan harian mereka terutama ketika berhadapan dengan harga barang yang meningkat dan Cukai Barangan dan Perkhidnatan (GST).

Justeru, beliau berharap sokongan padu rakyat negeri ini supaya kerajaan pimpinannya melakukan lebih banyak perubahan terutama dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sepanjang 15 bulan menjadi Ketua Menteri, banyak usaha telah dan sedang saya lakukan untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Ini termasuk mengekang kegiatan pembalakan haram, pemansuhan tol, pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penurunan tarif elektrik,” katanya.

Semua ini, jelas beliau bertujuan meringankan beban dan menjaga hak serta kepentingan rakyat.

Adenan memberitahu, kerajaan negeri buat masa ini menghentikan pemberian lesen nelayan laut dalam untuk mengelak terus disalah guna sehingga menguntungkan nelayan asing.

Selain itu, katanya hasil tangkapan nelayan laut dalam juga perlu didaratkan di pelabauhan-pelabuhan di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen konsesi balak dan pembukaan ladang kelapa sawit. Ini bertujuan memelihara hutan di negeri ini daripada kemusnahan,” ujarnya.

Tambahnya, langkah menghentikan pengeluaran lesen pembukaan ladang komersil dilakukan berikutan terlalu banyak pertikaian melibatkan tanah penduduk kampung dan syarikat.

Jelasnya, terdapat berpuluh-puluh kes sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah dan menunggu masa lama untuk diselesaikan sehingga mendatangkan masalah kepada penduduk.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Saleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTS Dato Henry Lau. - UB

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY