'/>

Fokus 3 Sudut..

Bill Kayong
KUCHING: Polis menolak motif politik dan perkauman dalam pembunuhan Bill Kayong, sebaliknya menfokuskan tiga sudut yang mungkin menjurus kepada insiden tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, tumpuan diberi kepada isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Bekelit di Bekenu, pergolakan dalaman beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disertai beliau dan isu-isu peribadi.
“Kes ini memakan masa yang lama. Bagi kita masa untuk menjalankan siasatan secara teliti dan terperinci.
“Setakat ini, saya belum dapat memberi maklumat lanjut berkenaan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Polis Sarawak di Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya di sini, kelmarin.
Dev berkata, polis juga telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan percakapan termasuk ahli keluarga, rakan-rakan terdekat, kenalan termasuk pihak yang dikatakan musuh.
Katanya, belum ada saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat, namun polis telah menemu duga orang yang mendengar tembakan tersebut.
Lokasi kejadian iaitu di kawasan lampu isyarat, katanya, tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) serta jauh dari bangunan lain.
Menurut beliau, polis akan berusaha sebaik mungkin untuk melindungi individu yang memberi maklumat.
“Apa pun, kita tengok kualiti maklumat diberikan oleh saksi dan risiko-risiko yang mungkin dihadapi dan kita akan nilai. Kita tahu apa untuk dibuat jika maklumat diterima adalah berkualiti,” katanya.
Dev pada masa sama menyeru orang ramai khasnya pengguna media sosial untuk berhenti menyebar spekulasi gambar individu lain yang tidak berkaitan dengan kes itu sebagai suspek kerana ia mengganggu siasatan.
Baru-baru ini, gambar dua individu yang didakwa suspek bunuh Bill Kayong disebar meluas dalam laman Facebook.
Salah seorang daripada lelaki itu, katanya, merupakan suspek kes bunuh yang dilaporkan pada 6 Jun, manakala seorang lagi pegawai imigresen yang ditahan dan didakwa menyerang dengan pegawai Polis Gerakan Am (PGA) oleh penduduk kampung.
“Tindakan menyebar spekulasi seperti ini tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Bill Kayong, 43, mati ditembak dengan senapang patah oleh individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat berhampiran pusat komersil Permyjaya, Miri ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin ke pejabatnya yang terletak di pusat bandar.
-BP

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY