'/>

Lelaki bergelar "Dato" dalang pembunuhan #BillKayong

MIRI: Polis sedang memburu seorang lelaki bergelar “Dato'” yang disyaki menjadi dalang dan perancang di sebalik pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri, Bill Kayong pada 21 Jun lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, lelaki tersebut dan dua lagi suspek masih bebas dan polis telah menggerakkan segala elemen untuk mengesannya.

Dev ditemui di luar kamar mahkamah selepas lapan daripada suspek sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini semalam untuk proses perundangan.

Dua daripada suspek itu telah dijatuhkan pertuduhan manakala empat suspek lagi, dibebaskan sebelum ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Dua lagi suspek termasuk seorang wanita yang turut direman sebelum ini dibebaskan tanpa syarat.

Pada pagi semalam, Mohamad Fitri Pauzi, 29, dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan menembak Bill, 43 tahun di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart di Permyjaya pada jam 8.20 pagi pada 21 Jun lalu.

Seorang lagi suspek, Lie Chang Loon, 29, dan tiga individu lain yang masih bebas pula dituduh bersubahat dengan Mohamad Fitri untuk melakukan pembunuhan tersebut dan didakwa di bawah Seksyen 109, yang dibaca bersama-sama dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan bersalah direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, yang kelihatan tenang apabila penterjemah mahkamah membaca pertuduhan dalam bahasa Melayu dan Mandarin.

Majistret Lovely Natasha Charles kemudian menetapkan 30 Ogos sebagai tarikh sebutan semula.

Kedua-dua tertuduh, Mohamad Fitri dan Lie kemudian diarahkan untuk ditahan di Penjara Lambir sehingga kes ini disebut semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Iskandar Ahmad, yang dibantu Timbalan Pendakwaraya Poh Yih Tian manakala peguambela Ranbir Singh mewakili kedua-dua tertuduh.

Abun Sui Anyie pula dilantik sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Bill Kayong.

Ranbir dalam permohonannya meminta Mohamad Fitri dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital berdekatan kerana pergelangan tangannya lebam disebabkan oleh gari. – Sarawakvoice.com

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY