'/>

Yakini Sistem Perundangan Malaysia-Abdullah Saidol

Orang ramai termasuk pucuk pimpinan daripada parti pembangkang sewajarnya mematuhi dan memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem perundangan Malaysia dalam kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata susulan pendakwaan, Guan Eng adalah tidak bersalah selagi belum terbukti bersalah.

“Kes di Pulau Pinang ini ternyata menarik perhatian seluruh negara kerana ia melibatkan seorang Ketua Menteri dan pemimpin tertinggi dari parti pembangkang.

“Namun, buat masa sekarang, saya ingin menyatakan beliau (Guan Eng) masih dianggap tidak bersalah selagi belum terbukti bersalah dan beliau berhak untuk menggunakan semua kaedah perundangan yang ada bagi mempertahankan diri,” katanya semalam.

Jelasnya lagi, seperti yang telah dijangka, pihak pembangkang pantas mendakwa tindakan SPRM tersebut bermotifkan politik.

“Saya percaya bukan sahaja rakyat Pulau Pinang yang ingin mengetahui kebenaran tetapi sudah tentu ramai pemimpin yang mungkin senyap dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang turut ingin tahu,” tambahnya.

Kelmarin, Guan Eng ditahan oleh SPRM di pejabatnya di Bangunan KOMTAR Pulau Pinang manakala bekas pemilik banglo di Jalan Pinhorn, George Town yang juga seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon ditahan di pejabatnya di Penang Garden.


sumber

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY